PROGRAM Klinik Bola Sepak 2025 yang diadakan di Padang Bola Sepak Kampung Moyan Ulu, Asajaya, barubaru ini berlangsung dengan jayanya.
Seramai 100 peserta berumur antara tujuh hingga 18 tahun dari pelbagai sekolah sekitar Daerah Asajaya dan kawasan berdekatan menyertai klinik berkenaan.
Program tersebut dikendalikan oleh beberapa bekas pemain Sarawak dan legenda Ngap Sayot seperti Abdul Jalil Ramli, Roslan Ismail, Burhaniza Abu Bakar, Afandi Jol, Zulkipli Rosli dan Kamaludin Taha.
Pengerusi program, Zaimie Putit memaklumkan bahawa klinik berkenaan yang berlangsung selama setengah hari mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Menurut Zaimie, peserta yang terlibat terdiri daripada wakil sekolah rendah dan menengah di kawasan Asajaya dan sekitarnya.
“Sambutan terhadap klinik bola sepak yang kita anjurkan baru-baru ini amat hebat.
“Kami tidak menyangka klinik berkenaan dapat menghimpunkan begitu ramai pemain muda berbakat,” ujar Zaimie kepada Arena Suara Sarawak.
Klinik berkenaan dianjurkan oleh PBB Ranting Kampung Moyan Ulu dan JKKK Kampung Moyan Lot/Tradisi dengan kerjasama Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Sarawak (ESPA).
Tegas Zaimie, klinik bola sepak berkenaan diadakan secara percuma tanpa sebarang yuran dikenakan terhadap peserta yang terlibat.
Sepanjang berlangsungnya klinik tersebut, peserta turut didedahkan dengan kemahiran asas bola sepak seperti mengelecek, teknik hantaran dan sebagainya.
Selain itu, peserta juga berpeluang menyertai perlawanan persahabatan sesama mereka.
Beliau menambah, pelaksanaan klinik berkenaan merupakan antara aktiviti tahunan pihaknya.
Mengulas lanjut mengenai penganjuran itu, beliau menjelaskan bahawa klinik bola sepak merupakan program latihan untuk membangunkan kemahiran asas dan minat terhadap bola sepak dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.
Program tersebut menawarkan latihan fizikal, teknikal dan taktikal, di samping menganjurkan pelbagai aktiviti, termasuk pertandingan, yang bertujuan meningkatkan kemahiran individu serta memupuk semangat kerjasama berpasukan.
“Pada dasarnya, tujuan klinik bola sepak diadakan ialah untuk memupuk bakat yang sedia ada.
“Selain itu, ia turut memberi peluang kepada kanakkanak dan remaja untuk memperlihatkan bakat mereka dalam sukan nombor satu dunia itu,” jelasnya.
Sambil mengakui bahawa melalui pendekatan sedemikian dapat meningkatkan kemahiran, program ini juga berperanan mengembangkan kemahiran asas seperti menggelecek, menendang dan bermain secara berpasukan melalui latihan yang sistematik.
“Selain itu, secara tidak langsung ia dapat mewujudkan semangat kerjasama berpasukan serta mendedahkan peserta tentang kepentingan bekerjasama, semangat berpasukan dan sikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri serta rakan sepasukan,” katanya.
Zaimie menyifatkan bahawa program tersebut dapat membina keyakinan diri dalam kalangan peserta melalui latihan dan permainan yang dijalankan dalam persekitaran positif.
Sepanjang pelaksanaan klinik berkenaan, barisan jurulatih turut menekankan aspek latihan fizikal dan kecergasan.
“Ia merangkumi aktiviti bagi meningkatkan stamina, kelincahan dan tahap kecergasan secara keseluruhan
. “Fokus turut diberikan terhadap teknik asas bola sepak seperti mengawal bola, menendang dan membuat hantaran.
“Selain itu, latihan taktikal juga diterapkan dengan mendedahkan peserta kepada prinsip permainan seperti strategi serta posisi pemain,” jelas Zaimie.
Beliau menambah, aspek lain yang turut ditekankan termasuk disiplin, pemakanan dan persediaan mental sebagai pemain bola sepak yang berdaya saing.
Zaimie yakin program berkenaan mampu melahirkan bakat baharu yang berpotensi menjadi pemain bola sepak berjaya pada masa hadapan.
“Kami percaya ada dalam kalangan pemain muda yang menyertai klinik ini akan berjaya dalam kerjaya bola sepak dan berpeluang mencipta nama di pentas yang lebih kompetitif pada masa akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, Zaimie turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
“Kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama serta sokongan yang diberikan,” katanya.



