GAGAL SELEPAS MENCUBA lebih baik daripada gagal untuk mencuba.
Demikian kata-kata yang memberi motivasi dalam diri penyanyi rap terkenal Sarawak yang dikenali dengan nama Knowno.
Knowno atau nama sebenarnya, Khairul Nurfandy Abdul Nasir pernah menjadi siulan remaja 90-an dan mencetus fenomena dengan lagu ciptaannya sendiri seperti Matahari, Donchu Ever Go Away dan Kamek Sayang Gerek Kamek.
Menurut Knowno, muzik mampu dijadikan platform untuk luahan isi hati, berkongsi cerita dengan cara penulisan yang lebih kreatif dan puitis.
“Apabila mendengar lirik tersebut, seakan-akan menjadikan muzik sebagai tempat meluah isi hati, bercerita, tetapi dengan cara penulisan yang kreatif dan puitis.
“Ini kerana, lirik genre rap lebih panjang, maka lebih puas bercerita dan menulis,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Go Down Amphitheatre, Tebingan Kuching, baru-baru ini.
Menceritakan permulaan penglibatannya dalam bidang muzik, Knowno berkata ia lahir daripada minatnya menulis, kemudian mula jatuh cinta dengan genre rap dan hip hop sebab lirik rap lebih banyak similariti dengan puisi.
“Cabaran pada awalnya dalam bidang muzik adalah ketika proses rakaman.
Ini kerana, di Kuching amnya suatu ketika dahulu tidak mempunyai banyak platform untuk rakaman studio hanya banyak tempat jamming.



