ARTIKEL

AWANG Tengah mendengar taklimat pada Program Pertukaran Kolaboratif Bandar Sempadan ke Fisherman’s Bastion, Budapest, Hungray.

Kolaboratif strategik Sarawak dan Hungary

ZARINA ABDULLAH

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak meneliti amalan terbaik Budapest dalam usaha memelihara warisan sejarah, sambil memanfaatkannya sebagai pemacu pembangunan bandar, pelancongan dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Usaha itu dilaksanakan menerusi lawatan delegasi Sarawak yang menyertai Program Pertukaran Kolaboratif Bandar Sempadan ke Fisherman’s Bastion, antara mercu tanda warisan paling ikonik di ibu negara Hungary itu.

Lawatan diketuai oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu, merupakan sebahagian daripada misi kajian ke Hungary dan Austria bagi meneroka amalan terbaik antarabangsa dalam perancangan bandar serta pengurusan warisan.

“Sepanjang lawatan itu, kita berpeluang melihat bagaimana Budapest berjaya memelihara warisan budaya dan seni bina, sambil mengintegrasikan aset berkenaan ke dalam strategi pembangunan pelancongan serta ekonomi yang lebih luas.

“Dalam masa yang sama, kita turut meneliti bagaimana mercu tanda warisan dimanfaatkan sebagai elemen penjenamaan bandar, pelancongan budaya dan pembentukan identiti sesuatu tempat,” katanya.

Mengulas lanjut ujarnya, lawatan tersebut turut menyentuh kepentingan tadbir urus yang berkesan, kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan serta pengurusan ruang awam dalam memastikan nilai sejarah terus terpelihara dan kekal menarik kepada penduduk serta pelancong.

“Pengalaman tersebut memperlihatkan aset warisan yang dipelihara dengan baik, disokong oleh ruang awam berkualiti serta persekitaran mesra pejalan kaki mampu meningkatkan kualiti kehidupan bandar, di samping memperkukuh identiti dan daya saing sesebuah bandar.

“Pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh menerusi lawatan itu dilihat amat relevan dengan usaha perancangan pembangunan yang sedang dilaksanakan Sarawak, termasuk Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035,” tambahnya.

Jelasnya, pelan tersebut bertujuan memanfaatkan kekayaan aset budaya, sejarah dan alam semula jadi di wilayah berkenaan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta pembangunan sektor pelancongan.

Malah, pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik itu dijangka membantu memperkukuh usaha pemuliharaan warisan, memperindah pusat bandar serta mewujudkan kawasan yang lebih beridentiti, menarik dan berdaya tahan selaras dengan keunikan wilayah sempadan Sarawak.

Delegasi Sarawak disambut dan diberikan taklimat oleh Timbalan Datuk Bandar Daerah I (Budavár), Fodor Artur bersama pegawai Kabinet Pejabat Datuk Bandar, Dominik Liszkai serta pelatih pejabat berkenaan, Levente Kalmár.

Taklimat tersebut memberi gambaran menyeluruh mengenai kerangka pemuliharaan warisan, inisiatif pelancongan dan amalan pengurusan bandar yang dilaksanakan di Daerah Istana Buda iaitu warisan dunia bersejarah menempatkan Istana Diraja.

Bandar raya Budapest yang merupakan ibu negara Hungary kaya dengan sejarah dan warisan global yang diiktiraf dunia. Pembentukannya bermula pada lewat abad ke-19 melalui gabungan dua bandar bersejarah dengan Buda di tebing barat dan Pest di tebing timur, yang dipisahkan oleh Sungai Danube. Seluruh bandar ini dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1987.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU