S OKONGAN masyarakat terhadap komuniti autisme di negeri ini perlu berterusan dan tidak terhad kepada sumbangan bermusim semata-mata.
Hal ini kerana cabaran yang dihadapi golongan ini berkembang seiring peningkatan usia serta memerlukan perhatian jangka panjang daripada semua pihak.
Pendekatan ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Sarawak yang menekankan prinsip inklusif serta memastikan tiada mana-mana golongan tercicir daripada arus pembangunan.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata sumbangan sebuah van Toyota HiAce berkapasiti 10 tempat duduk oleh The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints menerusi pasukan kemanusiaannya kepada Persatuan Autisme Kuching (KAA) mencerminkan nilai belas ihsan serta komitmen berterusan dalam menyokong komuniti autisme di Sarawak.
Menurut beliau, kenderaan tersebut bukan sahaja memudahkan urusan pergerakan, khususnya bagi keperluan pengangkutan perubatan, malah membantu usaha pemasaran hasil kerja pelajar bagi menyokong pembangunan kemahiran serta ekonomi mereka.
“Sumbangan ini merupakan simbol komitmen berterusan untuk memudahkan pergerakan, meningkatkan kebolehcapaian serta memperkukuh sokongan terhadap komuniti autistik di Sarawak.
“Komuniti autisme memerlukan sokongan kolektif daripada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat bagi memastikan golongan ini tidak terpinggir
. “Tiada siapa memilih untuk dilahirkan sebagai individu autistik, tetapi kita boleh memilih untuk melakukan sesuatu demi mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan van tersebut, Selasa lalu.
Dr. Sim berkata inisiatif berkenaan turut mencerminkan semangat pembinaan negara bangsa yang berteraskan nilai murni, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.
Beliau menjelaskan sokongan terhadap komuniti autisme merupakan komitmen jangka panjang yang memerlukan kesabaran, perancangan serta pembiayaan berterusan, khususnya apabila kanak-kanak autistik memasuki alam dewasa dan berdepan risiko kehilangan penjaga pada masa hadapan.
“Setiap tahun KAA melaksanakan usaha pengumpulan dana, manakala sokongan yang diterima daripada masyarakat amat memberangsangkan.
“Ini membuktikan masyarakat bukan sahaja menyumbang dari segi kewangan, malah turut berkongsi nilai dan keprihatinan dalam memelihara kebajikan komuniti autisme,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Batu Kawa berkata masyarakat masa kini berdepan cabaran yang hampir sama seperti negara lain, namun perbezaannya terletak pada nilai yang dipegang, iaitu keterangkuman serta keikhlasan untuk mencetuskan perubahan.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak gereja atas sumbangan tersebut yang disifatkannya sebagai contoh terbaik peranan organisasi masyarakat dalam menyumbang secara bermakna serta memberikan impak tinggi kepada komuniti.
Presiden KAA Dr Catherine Chen Jean Ai berkata, KAA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints atas sumbangan sebuah van yang amat diperlukan bagi menyokong komitmen berterusan KAA dalam menyediakan intervensi awal, terapi serta latihan berkualiti kepada kanak-kanak dan golongan dewasa autistik.
“Sumbangan van hari ini melambangkan keprihatinan The Church of Jesus Christ of Latterday Saints yang diterjemahkan melalui tindakan, di samping mencerminkan kerjasama bermakna bersama KAA dalam usaha menyediakan peluang pembelajaran dan latihan kepada individu autistik.
“Bagi pihak KAA, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pasukan Kemanusiaan The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints serta semua penyokong dan rakan komuniti yang terus memperjuangkan nilai inklusiviti, maruah dan peluang untuk individu autistik,” katanya.
Beliau menambah permintaan terhadap perkhidmatan KAA terus meningkat setiap tahun.
Jelasnya, seramai 170 pelajar berdaftar di KAA pada masa ini, manakala 94 kanak-kanak lagi berada dalam senarai menunggu, kebanyakannya berusia di bawah lapan tahun
. “Kami merancang untuk mengambil lebih ramai tenaga pengajar tahun ini, namun kos operasi juga dijangka meningkat.
“Di KAA, kami menyediakan terapi intervensi awal, latihan kebersihan diri serta latihan kemahiran sosial dan komunikasi kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah,” katanya.
Bagi program pendidikan menengah yang melibatkan remaja berusia 13 hingga 19 tahun pula, beliau berkata tumpuan diberikan kepada latihan kemahiran hidup, kemahiran sosial dan latihan vokasional.
Katanya, para pelajar turut didedahkan kepada aktiviti seni, kraf tangan, kerja manik, pengurusan rumah, kerja-kerja dobi dan berkebun, selaras dengan usaha KAA mengenal pasti minat, bakat serta kebolehan masing-masing.
“Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan, KAA kini sedang memperluas kemudahannya melalui pembinaan sebuah pusat latihan vokasional khas.
Bangunan baharu ini dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
“Apabila beroperasi kelak, pusat ini akan meningkatkan kapasiti KAA dalam menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran dan latihan kepada remaja serta golongan dewasa muda autistik,” ujarnya.



