ARTIKEL

Komuniti bersatu demi alam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Bagi sesetengah orang, minyak masak terpakai, kotak, besi dan pakaian lama mungkin sekadar barangan yang memenuhi ruang di rumah.

Namun, bagi penduduk Taman Lee Ling, Jalan Matang, barang yang dianggap tidak lagi berguna itu akhirnya menjadi pencetus kepada satu usaha untuk menjaga alam sekitar dan mengeratkan hubungan komuniti.

Daripada masalah kecil di rumah, lahir satu idea yang kemudiannya menghimpunkan penduduk daripada pelbagai peringkat usia untuk bersamasama mengumpul barangan terpakai menerusi Program Petra Jaya Go Recycle.

Pengerusi Kelab Rakan Muda Petra Jaya, Hazim Hakimi Hasamudin berkata, idea itu tercetus apabila beliau dan rakan-rakan melihat sendiri keadaan ahli keluarga serta kenalan terdekat yang mempunyai terlalu banyak barangan terpakai di rumah, tetapi tidak tahu ke mana hendak menyalurkannya.

“Kadang-kadang pakaian lama, kotak, besi, kertas, aluminium, tembaga dan minyak masak terpakai hanya disimpan di rumah kerana tidak tahu hendak berbuat apa dengannya.

“Jadi, kami ter kir untuk mengadakan satu program yang dapat memudahkan penduduk menyalurkan barangan tersebut, pada masa yang sama menggalakkan mereka mengamalkan kitar semula,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, idea itu kemudiannya diterjemahkan menerusi program yang berlangsung di Dewan Futsal Taman Lee Ling pada 20 September lalu, dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.

Menariknya, program berkenaan bukan sekadar bertujuan mengumpul sebanyak mungkin barangan kitar semula.

Bagi Hazim, program itu turut menjadi peluang untuk golongan muda keluar daripada lingkungan mereka dan mengenali masyarakat dengan lebih dekat.

“Kelab Rakan Muda Petra Jaya sendiri baru ditubuhkan pada 10 Mac lalu, jadi Program Petra Jaya Go Recycle merupakan antara langkah awal kelab ini dalam menggerakkan aktiviti yang melibatkan masyarakat,” kongsinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelibatan belia dalam aktiviti seperti itu penting kerana memberikan ruang kepada mereka untuk melakukan sesuatu yang positif sambil kekal aktif.

“Aktiviti luar bukan sahaja membuatkan golongan muda lebih banyak bergerak, malah membuka peluang untuk mereka belajar bekerjasama dan berinteraksi dengan masyarakat.

“Bahkan, sepanjang program berlangsung, kebanyakan penduduk yang hadir membawa barangan terpakai terdiri daripada golongan yang lebih berusia,” tambahnya.

Justeru, beliau berkata, keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan satu suasana yang mungkin jarang dirasai dalam kehidupan seharian.

“Bagi kami, itu satu pengalaman yang baik.

Kami dapat membantu golongan yang lebih berusia dan dalam masa yang sama belajar daripada mereka.

“Kerjasama dengan kelab, yayasan dan syarikat lain yang turut disertai individu daripada pelbagai peringkat usia juga menunjukkan bahawa usia bukan penghalang untuk bekerjasama,” katanya.

Untuk menjadikan program itu lebih menarik, pihak penganjur turut menyediakan bonus RM50 kepada peserta yang membawa barangan paling berat bagi setiap kategori, kecuali minyak masak dan pakaian.

Namun, yang lebih menggembirakan Hazim ialah sambutan masyarakat yang akhirnya melangkaui sekadar angka.

“Hampir 800 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpul, selain ratusan kilogram barangan lain seperti besi, aluminium, kertas dan kotak.

“Jumlah minyak masak ini turut mencatatkan rekod baharu bagi Kim Huang Enterprise dan memberikan kepuasan kepada kami kerana sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai,” jelasnya.

Minyak masak terpakai akan dijual kepada pihak kilang yang memerlukannya, manakala besi, kertas, tembaga, aluminium dan kotak dihantar ke kilang untuk proses kitar semula.

Pakaian pula mempunyai perjalanan yang berbeza kerana akan diinfakkan oleh Yayasan Kepimpinan Al-Bait kepada golongan yang memerlukan.

Bagi masyarakat Taman Lee Ling, program itu turut menjadi ruang untuk membina hubungan yang lebih rapat.

Perbezaan usia, bangsa dan agama tidak menjadi penghalang apabila semua pihak berkongsi tujuan yang sama, iaitu memastikan barangan terpakai tidak berakhir sebagai sampah atau dibakar secara terbuka.

Kesedaran seperti itu dilihat semakin penting, terutama apabila masyarakat berdepan dengan kesan pencemaran alam dan jerebu akibat pembakaran terbuka.

Hazim percaya usaha kecil seperti mengasingkan dan menyerahkan barangan terpakai untuk dikitar semula mampu membentuk kebiasaan yang lebih baik jika dilakukan secara berterusan.

“Harapan kami adalah supaya lebih ramai orang, khususnya golongan belia, mula membudayakan amalan kitar semula.

“Kami juga berharap Kelab Rakan Muda Petra Jaya dapat terus bekerjasama dengan lebih banyak pihak dan menganjurkan aktiviti yang memberikan manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Selepas program kitar semula itu, kelab berkenaan sudah mempunyai perancangan untuk meneruskan usaha mendekati masyarakat menerusi Solat Hajat SPM 2026 dengan kerjasama Masjid Al-Abyad dan sekolah-sekolah di sekitar Petra Jaya.

Sekotak barang lama, sebotol minyak masak terpakai atau sehelai pakaian yang tidak lagi dipakai mungkin kelihatan kecil nilainya.

Namun, apabila dikumpul, semuanya bukan sahaja mampu mengurangkan sisa, malah mempertemukan manusia dengan manusia.

Mungkin itulah nilai sebenar Petra Jaya Go Recycle, bukan sekadar tentang apa-apa yang berjaya dikitar semula, tetapi tentang bagaimana sesuatu yang dianggap tidak berguna mampu menjadi sebab sebuah komuniti kembali bergerak bersama. Pengerusi KRT Taman Lee Ling, Abdul Aziz Mohd Bohari turut hadir.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU