SEPANG: Sekumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai sejak 28 Feb lepas selamat tiba ke tanah air malam tadi dengan penerbangan Emirates EK342.
Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 9.40 malam.
Difahamkan mereka ialah kumpulan pertama yang berjaya kembali ke tanah air selepas enam hari terkandas di Dubai susulan penutupan ruang udara akibat konflik di Timur Tengah.
Gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada akhir bulan lepas serta serangan balas Tehran terhadap pangkalan tentera AS di seluruh rantau itu telah memaksa sebahagian besar ruang udara di Timur Tengah ditutup sekali gus memberi kesan kepada penerbangan di seluruh dunia.
Sekurang-kurangnya lapan negara mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing apabila konflik tercetus termasuk Iran, Iraq, Jordan, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).- BERNAMA






