Kongsi jenama makanan lejen anda…. Siapa rindu nostalgia White Rabbit?

KUCHING: Gula-gula jenama White Rabbit memberi inspirasi seorang pereka grafik untuk membuat minuman jenama tersebut dan mengimbau zaman kanak-kanak pada tahun 90-an.

Kenzo Tan, 33, berasal dari Kuching merupakan pekerja sambilan sebagai pereka grafik mencetus idea membuat minuman berdasarkan gula-gula jenama ‘White Rabbit’ bagi mengimbau zaman kanak-kanak beliau semasa tahun 90-an.

“Minuman ini merupakan gula-gula White Rabbit saya cairkan dan menjadi minuman serta ditambah bebola kristal.

“Dalam pada itu, minuman saya buat juga memperkenalkan bebola kristal kerana di Sarawak ini hanya popular dengan black pearl,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual oleh Suara Sarawak di Festival Makanan Kuching semalam.

Tambah Kenzo, beliau turut mendapat inspirasi daripada negara Taiwan apabila melihat pelbagai minuman menarik di negara tersebut dan beliau turut berkunjung ke Taiwan untuk belajar jenis-jenis minuman di negara itu.

“Minuman yang saya hasilkan sekarang ini bahan-bahannya adalah dari negara Taiwan, saya dapatkan pembekal dari sana untuk memenuhi permintaan di sini.

“Selain itu, permintaan minuman jenama ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat dan juga pelancong asing seperti dari China, Australia, dan Taiwan,” jelasnya.

Beliau turut berkata, hasil jualannya dalam satu hari memcecah 500 hingga 700 gelas dengan harga RM14.00 satu gelas hingga RM27.00 satu mug.

Ini bermaksud, hasil beliau dalam satu hari mencecah RM7,000 hingga RM9,800.

“Harapan saya suatu hari nanti sekiranya permintaan minuman ini tinggi, saya akan membuka sebuah kedai untuk minuman jenama ini,” ujarnya.

Minuman gula-gula jenama ‘White Rabbit’ tersebut tular di media sosial sejak berlangsungnya Festival Kuching yang bermula pada 26 Julai lalu.

Suara Sarawak