»MY CHEMICAL ROMANCE (MCR) mengumumkan penangguhan semua tarikh jelajah Asia Tenggara mereka ke November 2026, termasuk konsert di Kuala Lumpur yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada April 2026.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan rasmi di Instagram kumpulan rock alternatif ikonik berkenaan, yang menegaskan semua konsert terbabit tidak dibatalkan, sebaliknya hanya ditunda ke tarikh baharu.
“Kami akan menunda tarikh jelajah Asia Tenggara kami ke November 2026. Konsert ini tidak dibatalkan,” menurut kenyataan tersebut.
Bagi peminat di Malaysia, My Chemical Romance kini akan tampil selama dua malam pada 19 dan 20 November 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, berbanding jadual asal sekitar April tahun hadapan.
Menurut pihak penganjur, semua tiket yang dibeli akan terus sah untuk tarikh baharu.
Namun, peminat yang tidak dapat menghadiri konsert pada tarikh ditetapkan boleh memohon bayaran balik dengan menghubungi syarikat penjualan tiket masing-masing.
MCR turut memaklumkan mereka tidak sabar untuk bertemu peminat di rantau ini pada November 2026, sambil menegaskan semua tarikh jelajah lain bagi 2026 akan diteruskan seperti dirancang.
“Terima kasih atas kefahaman dan sokongan berterusan anda,” kata kumpulan itu yang dianggotai Gerard Way, Mikey Way, Ray Toro dan Frank Iero.
Selain Kuala Lumpur, jelajah Asia Tenggara dan Asia Timur kumpulan itu akan bermula di Incheon, Korea Selatan pada 7 November 2026 di Paradise City Culture Park, sebelum diteruskan ke Singapura dan Manila.
Singapura dan Kuala Lumpur masing-masing akan menampilkan dua malam persembahan berturut-turut, dengan Singapura dijadualkan pada 10 dan 11 November 2026 di Singapore Indoor Stadium, manakala Kuala Lumpur berlangsung pada 19 dan 20 November 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Manila pula dijadualkan pada 14 November 2026 di Philippine Arena, diikuti Bangkok pada 17 November 2026 di Impact Challenger Hall, sebelum penutup jelajah Asia di Jakarta pada 22 November 2026 di Jakarta International Stadium.
Penangguhan ini pastinya mengecewakan sebahagian peminat yang menantikan kepulangan My Chemical Romance ke rantau ini selepas lebih sedekad, namun jaminan bahawa konsert tidak dibatalkan sedikit sebanyak meredakan kebimbangan, terutama bagi mereka yang sudah mendapatkan tiket lebih awal.
My Chemical Romance sebelum ini mencetuskan fenomena global menerusi album seperti The Black Parade dan Three Cheers for Sweet Revenge, dan kekal sebagai antara nama paling berpengaruh dalam sejarah rock alternatif moden.



