KUALA LUMPUR: Konvensyen Pemuda Perpaduan semalam menggariskan ‘Tekad Pemuda Perpaduan’ yang menggarap nilai kesepakatan, kebersamaan dan kestabilan dalam pelbagai aspek untuk membina negara bangsa yang kukuh.
Tekad bertemakan ‘Bina Bersama’ itu merangkumi lima tekad iaitu kesepakatan politik, perpaduan nasional, ekonomi belia, jaminan sosial serta kemampanan dan kestabilan sosioekonomi.
Pelancaran ‘Tekad Pemuda Perpaduan’ itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai acara kemuncak konvensyen itu sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Terdahulu, tekad itu ditandatangani Ketua Wira Warisan Mohd Ismail Ayob, Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Jonnybone Kurum, Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) Lukanisman Awang Sauni, Ketua Angkatan Muda Harapan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Dr Muhamad Akmal Saleh.
Kesepakatan politik dapat dicapai dengan membina kesepakatan yang menghormati Perlembagaan Persekutuan demi mempertahankan masyarakat majmuk yang patriotik, dengan kebersamaan dalam membina negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah.
Aspek perpaduan nasional pula berlandaskan nilai hormat dan ihsan serta menghormati kepelbagaian latar belakang dan budaya yang menjadi asas utama pembentukan Malaysia.
Seterusnya bagi aspek ekonomi belia, usaha untuk memastikan golongan belia dapat meneruskan hidup yang bermaruah akan dilaksanakan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan menyediakan pekerjaan bermutu yang dipacu oleh daya cipta, daya kreatif serta pendekatan mampan.
Usaha menyuburkan semangat setiakawan dalam kalangan rakyat Malaysia, bagi menegakkan keadilan sosial dengan memperjuangkan nasib golongan kurang berkemampuan dan sederhana tanpa mengira agama dan budaya, menjadi inti pati kepada aspek jaminan sosial.
Menerusi tekad kemampanan dan kestabilan sosioekonomi pula, intervensi strategik untuk merapatkan jurang sosioekonomi antara komuniti perlu dilakukan dengan meningkatkan keupayaan untuk bersaing supaya tiada golongan tercicir daripada menikmati kemakmuran negara.
Konvensyen Pemuda Perpaduan, berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari semalam, dimulakan dengan aktiviti suai kenal antara perwakilan serta delegasi pemuda dan belia daripada pelbagai parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.
Ini adalah pertama kali sayap pemuda daripada parti-parti politik tersebut dihimpunkan dalam sebuah acara, di mana semua perwakilan parti yang hadir berpakaian warna putih sebagai lambang kebersamaan pelbagai parti politik. – BERNAMA



