ARTIKEL

Abang Johari mengetuai konvoi motosikal sejauh 214 kilometer dari Jambatan Batang Lupar 1 ke Sibu, semalam.

Konvoi Bermotosikal: Abang Johari Tinjau Pembangunan Infrastruktur Kawasan Luar Bandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meninjau sendiri tahap pembangunan infrastruktur serta jaringan jalan raya di kawasan luar bandar menerusi konvoi motosikal sejauh 214 kilometer dari Jambatan Batang Lupar 1 ke Sibu, semalam.

Konvoi yang disertai kira-kira 20 motosikal berkuasa tinggi itu bermula pada 12.55 tengah hari dari Jambatan Batang Lupar 1 sebelum melalui Pusa dan Sarikei, seterusnya berakhir di Sibu pada kira-kira 6.05 petang.

Ia turut memberi peluang kepada Abang Johari menyantuni masyarakat di sepanjang laluan, meninjau sendiri kemudahan infrastruktur yang dibangunkan kerajaan negeri, termasuk jajaran Lebuh Raya Pan Borneo, jalan-jalan utama serta rangkaian jambatan baharu yang menghubungkan kawasan pesisir dan luar bandar.

Menurut Abang Johari, beliau memilih menaiki motosikal bagi membolehkannya melihat sendiri keadaan jalan raya dan tahap keterhubungan antara kawasan luar bandar yang kini semakin pesat membangun.

Konvoi tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian selepas Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 sebelum beliau menghadiri Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang bermula semalam hingga Ahad ini.

Sepanjang perjalanan, Abang Johari bersama-sama rombongan sempat singgah di Dataran Tandang Sari, Pusa bagi menghadiri jamuan ringan bersama penduduk setempat sebelum meneruskan perjalanan ke Dewan Al-Muttaqin, Sarikei untuk menunaikan solat serta menghadiri jamuan minum petang anjuran Pejabat Residen Bahagian Sarikei.

Perjalanan sejauh 214 kilometer itu turut memperlihatkan perubahan ketara landskap pembangunan luar bandar Sarawak yang kini menikmati rangkaian jalan raya lebih moden dan sistem perhubungan yang efisien hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur oleh Kerajaan Sarawak.

Konvoi tersebut juga menjadi platform mendekatkan kepimpinan negeri dengan masyarakat termasuk berpeluang beramah mesra serta mendengar sendiri pandangan dan aspirasi penduduk sepanjang laluan yang dilalui.

Ketibaan beliau di Sibu disambut oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee bersama-sama pemimpin tempatan serta pegawai kanan kerajaan.

Hari ini, Abang Johari dijadualkan menghadiri beberapa program termasuk Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Zon Sibu, Kapit dan Mukah.

Pada sebelah malam, beliau dijadual menghadiri majlis makan malam bersama-sama pemimpin masyarakat bagi mengukuhkan hubungan serta bertukar pandangan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Pada Sabtu, jadual lawatannya diteruskan dengan kunjungan ke Pusat Sehenti Taman Rimba Bukit Lima sebelum bersarapan di Pasar Sentral Sibu.

Lawatan beliau akan diakhiri dengan merasmikan Program Sarawakku Sayang di Dataran Tun Tuanku Bujang, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh hubungan dengan rakyat serta menyampaikan manfaat pembangunan secara menyeluruh.

BERITA LAIN

Pesta Tanglung Mukah 2026 tarik 7,000 pengunjung

MUKAH: Kira-kira 7,000 pengunjung membanjiri Pesta Tanglung Bahagian Mukah 2026, mencatatkan peningkatan kehadiran berbanding penganjuran tahun sebelumnya. Pesta yang memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada

BERITA TERBARU