ARTIKEL

Zaidi bercakap pada sidang media pengumuman dividen KOPERKASA di Ibu Pejabat KOPERKASA, di sini, hari ini.

KOPERKASA umum dividen 8.15 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kadar dividen Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (KOPERKASA) meningkat daripada 8.10 peratus tahun lalu kepada 8.15 peratus tahun ini dengan pulangan simpanan berjumlah RM4.3 juta kepada kira-kira 25,000 anggotanya.

Pengerusinya, Zaidi Pathi berkata, pengagihan dividen dan pulangan atas simpanan itu mendapat kelulusan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-72 pada 13 Jun 2026.

Zaidi bersama kakitangan KOPERKASA mempamerkan pengumuman pengagihan dividen keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 2025 selepas sesi sidang media, di Ibu Pejabat KOPERKASA, di sini, hari ini.

Menurutnya, dividen modal syer ditetapkan pada kadar 5.60 peratus, membabitkan pembayaran berjumlah RM3,232,740.

“Dividen modal yuran bulanan pula ditetapkan pada kadar 1.30 peratus berjumlah RM851,161, manakala pulangan atas simpanan peribadi sebanyak 1.25 peratus melibatkan RM218,269.

“Jumlah keseluruhan kadar dividen dan pulangan ialah 8.15 peratus, membabitkan nilai kewangan RM4,302,170 untuk kira-kira 25,000 anggota di seluruh Sarawak,” katanya pada sidang media pengumuman dividen KOPERKASA di Ibu Pejabat KOPERKASA, di sini, hari ini.

Beliau menambah, agihan itu mencerminkan prestasi kewangan yang kukuh serta komitmen berterusan KOPERKASA untuk memberikan pulangan mampan dan berpatutan kepada anggota.

“Pencapaian ini merupakan hasil pengurusan kewangan berhemah, tadbir urus berkesan serta kerjasama erat antara pihak pengurusan dengan kakitangan.

“Selain itu, sokongan padu daripada anggota serta bimbingan dan kepimpinan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) turut menjadi faktor penting yang menyumbang kepada pencapaian ini.

“Bagi pihak ALK, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada KOPERKASA,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, jelasnya, peningkatan kadar dividen tahun ini didorong oleh keuntungan daripada aktiviti pembiayaan, Ar-Rahnu, perniagaan emas dan sewaan bangunan milik koperasi.

“Kita menambah baik bangunan yang dimiliki sebelum menyewakannya dan hasil sewaan itu turut menjadi sebahagian daripada pendapatan KOPERKASA pada tahun lalu,” kongsinya.

Justeru, tegasnya, KOPERKASA akan terus mengukuhkan kedudukan kewangan, meningkatkan kecekapan pengurusan serta memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik yang memberi manfaat dan nilai tambah kepada anggota.

Dalam pada itu, katanya, anggota boleh membuat pengeluaran dividen dan pulangan atas simpanan peribadi mulai 13 Julai ini melalui portal myKOPERKASA selepas mendaftar sebagai pengguna.

“Anggota juga boleh mengemukakan Borang Permohonan Pengeluaran Dividen yang boleh diperoleh di semua pejabat KOPERKASA di seluruh Sarawak atau dimuat turun menerusi laman sesawang di www.koperkasa.com.my.

“Bagaimanapun, sekiranya tiada permohonan pengeluaran diterima, dividen yang diisytiharkan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun simpanan peribadi anggota dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengisytiharan.” tambahnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan