SEJARAH manusia sebenarnya ialah sejarah penghijrahan. Sejak ribuan tahun dahulu, manusia berpindah mencari tanah yang lebih subur, sumber air, keselamatan dan kehidupan yang lebih baik. Daripada penghijrahan tamadun awal di Mesopotamia hinggalah kepada penghijrahan besar-besaran selepas Perang Dunia Kedua, perpindahan manusia sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan peradaban. Namun, migrasi pada abad ke-21 bukan lagi sekadar pilihan.
Bagi jutaan manusia, ia menjadi satu-satunya jalan untuk terus hidup. Peperangan, konflik etnik, kemiskinan melampau, kegagalan ekonomi, penindasan politik dan kini perubahan iklim memaksa manusia meninggalkan tanah air mereka. Mereka bukan mencari kemewahan, tetapi mencari keamanan. Hari ini, dunia menyaksikan jumlah pelarian dan penduduk yang dipindahkan mencapai rekod tertinggi dalam sejarah moden.
Konflik di Timur Tengah, peperangan di Ukraine, pergolakan di beberapa negara Afrika serta ketidakstabilan di beberapa rantau Asia terus menambah angka mereka yang kehilangan tempat bergantung. Di sebalik statistik itu terdapat wajah manusia – anak kecil yang kehilangan persekolahan, ibu bapa yang berpisah dengan keluarga dan warga emas yang menghabiskan sisa usia di kem pelarian.
Ironinya, krisis migrasi dan pelarian umpama lingkaran yang tidak pernah selesai. Ada negara yang wujud hari ini, warganya berasal daripada pelariaan perang. Ada yang membawa diri, sehingga menjadi orang berjaya dan “ada nama” di negara perpindahannya.
Meski dia mungkin cuba melupakan isu migrasi dan pelarian… asalkan jangan jadi penyebab berlakunya pelarian seterusnya, atau sanggup menentang isu pelarian. Itu sudah memadai. Kini, ketika dunia semakin maju dari segi teknologi, isu migrasi masih gagal diselesaikan. Negara-negara maju memerlukan tenaga kerja asing bagi mengisi kekurangan pekerja akibat kadar kelahiran yang semakin rendah.
Namun, pada masa yang sama, mereka memperketat dasar imigresen kerana bimbang terhadap keselamatan, identiti nasional dan tekanan terhadap ekonomi domestik. Percanggahan ini menjadikan migrasi sebagai salah satu isu politik paling sensitif di dunia. Lebih membimbangkan ialah kemunculan satu fenomena baharu, iaitu pelarian iklim. Apabila kenaikan paras laut menenggelamkan kawasan pesisir, kemarau memusnahkan pertanian atau banjir besar menjadikan sesuatu kawasan tidak lagi sesuai didiami, manusia akhirnya terpaksa berpindah.
Mereka tidak melarikan diri daripada perang, tetapi daripada alam yang semakin berubah. Malangnya, undang-undang antarabangsa hari ini masih belum benar-benar mengiktiraf status pelarian iklim sebagaimana pelarian akibat konflik bersenjata. Dalam tempoh dua dekad akan datang, migrasi dijangka menjadi jauh lebih kompleks.
Perubahan iklim mempercepat perpindahan penduduk dari kawasan yang terlalu panas, kering atau sering dilanda bencana. Pada masa yang sama, jurang ekonomi antara negara kaya dengan miskin dijangka terus mendorong penghijrahan tenaga kerja. Dunia akan berhadapan bukan sahaja dengan cabaran mengurus sempadan, malah mengurus kemanusiaan. Teknologi turut mengubah corak migrasi.
Kecerdasan buatan dan automasi mungkin mengurangkan permintaan terhadap pekerjaan berkemahiran rendah di sesetengah negara. Namun, sektor penjagaan kesihatan, pembinaan, pertanian dan teknologi tinggi masih memerlukan tenaga kerja asing. Negara yang bijak akan melihat migrasi sebagai sumber modal insan, bukannya semata-mata beban sosial. Persoalan besarnya ialah, adakah migrasi akan terus menjadi isu yang tidak selesai? Jawapannya, kemungkinan besar ya. Hal ini kerana punca utama migrasi tidak mudah dihapuskan. Selagi perang masih berlaku, selagi jurang pembangunan antara negara kekal melebar, selagi perubahan iklim terus mengancam kehidupan, manusia akan terus berhijrah. Membina tembok atau mengetatkan sempadan mungkin mengurangkan kemasukan buat sementara waktu, tetapi ia tidak menghapuskan sebab sebenar yang mendorong seseorang meninggalkan tanah airnya. Hal yang mungkin berubah ialah cara dunia mengurus migrasi.
Menjelang 2050, masyarakat antarabangsa berkemungkinan mewujudkan kerangka baharu yang mengiktiraf pelarian iklim, memperkukuh kerjasama serantau dan membangunkan sistem migrasi yang lebih tersusun. Teknologi biometrik, identiti digital dan kecerdasan buatan pula membantu proses pendaftaran, penempatan dan pemantauan migran dengan lebih cekap. Bagi Malaysia, isu migrasi perlu ditangani secara seimbang. Negara memerlukan pekerja asing untuk menyokong beberapa sektor ekonomi, tetapi keselamatan sempadan, pematuhan undang-undang dan keharmonian masyarakat juga mesti dipelihara.
Pendekatan yang terlalu keras boleh menjejaskan nilai kemanusiaan, manakala pendekatan yang terlalu longgar pula boleh menimbulkan pelbagai implikasi sosial dan ekonomi. Hakikatnya, migrasi bukan sekadar isu perpindahan manusia, tetapi ia cerminan keadaan dunia. Apabila dunia aman, makmur dan stabil, migrasi berlaku secara teratur. Sebaliknya, apabila dunia bergolak, manusia akan terus bergerak mencari harapan baharu.
Selagi akar masalah seperti peperangan, kemiskinan dan perubahan iklim tidak dapat diatasi, migrasi akan kekal sebagai cabaran global yang tidak pernah benar-benar selesai. Cabaran sebenar bukanlah untuk menghentikan manusia daripada berhijrah, tetapi memastikan setiap penghijrahan diurus dengan adil, berperikemanusiaan dan penuh tanggungjawab.






