YANG di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara 19,855 penonton yang meraikan kejayaan Kuching City FC, melangkah ke pentas final Piala Malaysia Edisi Ke-99 di Stadium Negeri, Petra Jaya Sabtu lalu.
Ia bukan kali pertama kedua-dua pemimpin tertinggi negeri itu menyaksikan perlawanan di gelanggang keramat, kerana pernah menyaksikan perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia sebelum ini.
Kehadiran mereka tidak sia-sia, mengembalikan nostalgia 27 tahun yang lalu di Stadium Sarawak.
Ketika itu, pasukan Sarawak bimbingan Jalil Ramli mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah, setelah mengalahkan Terengganu 3-1 dalam perlawanan separuh akhir kedua yang disaksikan sekitar 35,000 penonton.
Kedua-duanya terikat 1-1 dalam perlawanan pertama.
Yang pasti, kejayaan kali ini lebih manis, kerana menumbangkan juara 33 kali, Selangor, yang pernah menggagalkan misi final pasukan Alan Vest, Sarawak 1995.
“Jantung saya berdegup kencang kerana bimbang situasi seperti di Selangor sebelum ini berulang apabila lawan menyamakan kedudukan pada saat akhir,” ujar Abang Johari.
“Alhamdulillah, Kuching City berjaya mempertahankan kelebihan 1-0 hingga wisel penamat,” katanya.
Walaupun sibuk dengan tugasan hakiki, Premier tetap turun padang, menyaksikan perlawanan besar Kuching City bersama-sama rakyat jelata pelbagai kaum.
Bagi beliau arena sukan cukup penting, sebagai payung penyatu masyarakat Bumi Kenyalang.
Oleh itu, limpahan pembangunan di setiap ceruk 12 bahagian di negeri ini bagaikan tidak lengkap tanpa infrastruktur sukan.
Abang Johari mahu melihat, Sarawak bukan sekadar sebagai kuasa ekonomi serantau, malah sebagai penakluk sukan negara.
Penubuhan pasukan kelab yang bermula dengan Kuching FA pada 2015 adalah atas cadangan Premier, dengan melantik Datuk Fazzrudin Abdul Rahman sebagai pengerusi.
Pembentukan kelab tersebut adalah susulan prestasi merudum pasukan negeri (Sarawak), selepas kali terakhir layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 di bawah kendalian Robert Alberts dari Belanda yang juga bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Sebelum ini bola sepak kita ada masalah. Sebab itu saya tubuhkan Kuching FC untuk kita bangunkan semula dengan perlawanan sesama kelab tempatan,” kata Abang Johari.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak turut menyediakan kemudahan latihan, selain menyalurkan sokongan kewangan bagi memastikan kelab beroperasi secara stabil dan tersusun.
“Kita bantu dari segi kewangan.
Kalau pemain tidak dibayar gaji, siapa mahu main?
Itu penting,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa hasil sokongan dan usaha berterusan, kini ia mula membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, apa yang kita buat ini berhasil,” katanya lagi.
Transformasi kelab
Bermula dengan saingan peringkat kelab, Kuching FA pantas mengukir nama apabila menjuarai Liga Bola Sepak Rakyat pada musim 2015/16, ketika dibimbing oleh bekas pemain Sarawak, Sharizan Sahari.
Kejayaan itu memberi tiket kepada Kuching FA untuk bersaing dalam Piala FAM pada 2017 dan 2018, dengan menduduki tangga keempat liga untuk dua musim berturut-turut.
Kemudiannya mereka menyertai Liga M3 pada 2019, dengan muncul naib juara.
Di sinilah transformasi sebenar, Kuching City, yang kemudiannya layak ke Liga Perdana tiga musim berturut-turut (2020, 2021 dan 2022), di bawah kendalian Ideris Untong, juga bekas pemain Sarawak.
Kuching City menduduki tangga keempat liga pada 2020, tangga kelima pada 2021 dan tempat ketiga pada 2022.
Mereka akhirnya layak ke Liga Super 2023, ketika dikemudi oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang dibantu oleh Sulaiman Hussin.
Pada musim pertama dalam Liga Super mereka sekadar di tangga ke-13, namun muncul naib juara Piala Cabaran 2023.
Ketika itu juga pengurusan Kuching City menambat jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak pada Ogos 2023 hingga kini. Kuching City meningkat drastik pada 2024/25 apabila muncul di tempat keempat Liga Super.
Pengurusan rapi, percaturan bijak Aidil, pengambilan pemain import yang tepat, serta pembayaran gaji yang konsisten, antara faktor yang mendorong kejayaan Kuching City.
Seperti yang pernah dikatakan oleh bekas pemain utama Kuching City, Joseph Kallang Tie pada 2019; “Saya menyertai KCFC kerana kelab ini mempunyai misi yang jelas … dan sudah pasti saya mahu membantu mereka ke Liga Premier dan kalau boleh ke Liga Super.”
Ternyata, impian bekas pemain Harimau Malaya, Sarawak, Terengganu dan Selangor itu menjadi kenyataan.
Kini Kuching City terus mengorak langkah, bukan sekadar ke pentas final Piala Malaysia, tetapi juga mengintai slot Liga Juara-Juara Elit 2, selaku naib juara Liga Super.
Mereka juga layak ke separuh akhir Piala FA 2025/26, sebelum ditundukkan JDT, dengan agregat 4-1.
Walaupun menyedari kekuatan JDT yang akan ditentang pada 23 Mei depan, namun Kuching City FC tetap positif, akan berusaha sedaya upaya untuk melakar sejarah yang lebih besar, juara Piala Malaysia.
Kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) tampil sebagai pasukan kelab pertama menjuarai Piala Malaysia 2003, setelah mengalahkan Sabah 3-0 dalam perlawanan akhir.
Manakala KL City yang dibimbing oleh Bojan Hodak melakukan kejutan pada final Piala Malaysia 2021, dengan menundukkan JDT 2-0.
Yang pasti, sepanjang lapan tahun kebelakangan ini (2017 hingga 2025), JDT merupakan kuasa besar Piala Malaysia apabila menjuarainya lima kali, termasuk secara berturut-turut pada 2022/23, 2023/24 dan 2024/25.
Mengambil kira pencapaian tersebut, JDT adalah pasukan pilihan untuk juara lagi, namun Kuching City dilihat berpotensi untuk melakar keajaiban di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Empat serangkai, Haziq Nadzli, Petrus Shitembi, Ronald Ngah Wanja dan Ramadhan Saifullah bakal mengakhiri dominasi JDT.



