KUCHING: Kapasiti Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang mampu menampung antara 35,000 hingga 37,000 penonton akan dibahagikan sama rata kepada penyokong Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi perlawanan akhir Piala FA pada 16 Januari 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan berkata, pembahagian 50-50 itu bermakna kedua-dua pasukan berpeluang mendapat peruntukan sekitar 17,500 hingga 18,500 tempat duduk, meskipun perlawanan berlangsung di gelanggang JDT.
“Pembahagian penyokong akan dibuat secara sama rata, iaitu 50-50.

Ini bukan bermakna JDT sebagai pemilik stadium mempunyai kelebihan dari segi peruntukan tempat duduk.
“Perlawanan akhir ini akan dikelolakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai penganjur, dengan bantuan JDT dan Kuching City FC,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Iswandi menjelaskan, Stadium Nasional Bukit Jalil pada asalnya dirancang menjadi gelanggang perlawanan akhir, namun kerja penambahbaikan menyebabkan venue berkenaan tidak dapat digunakan.

Menurutnya, pemilihan SSI dibuat menerusi persetujuan bersama dengan mengambil kira beberapa faktor penting, khususnya kemudahan stadium, kapasiti penonton dan keperluan pihak penaja.
Dalam pada itu, Iswandi mendedahkan Stadium Negeri Sarawak di Kuching turut dipertimbangkan sebagai lokasi perlawanan akhir, namun kekangan kapasiti dan kemudahan menjadi antara faktor utama venue tersebut tidak dipilih.
“Memang ada cadangan untuk mengadakan perlawanan akhir di Kuching, tetapi kapasiti stadium kita hanya sekitar 16,000 lebih penonton.
“Selain itu, aspek pencahayaan untuk siaran televisyen serta kemudahan ruang khas bagi penaja juga perlu diambil kira dalam penganjuran perlawanan sebesar ini,” katanya.
Menurutnya, kemudahan yang tersedia di SSI membolehkan pihak penganjur memenuhi keperluan teknikal dan komersial perlawanan akhir, termasuk penyiaran serta penyediaan ruang korporat kepada penaja.
“Kita tidak boleh menafikan kemudahan yang dimiliki JDT, termasuk dari segi kapasiti penonton, fasiliti stadium dan keperluan penaja,” jelasnya.
Kuching City pertama kali melangkah ke final Piala FA selepas menyingkirkan Selangor dengan agregat 3-2 pada separuh akhir, sekali gus berpeluang mencabar JDT bagi merebut kejuaraan berprestij itu.



