ARTIKEL

Kredit: Bernama

Malaysia belasah Guam 10-0, kekal buru tiket ke Piala Asia B-17

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara terus menghidupkan peluang melayakkan diri ke Piala Asia B-17 2027 selepas membelasah Guam 10-0 dalam aksi ketiga Kumpulan E kelayakan kejohanan itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Malaysia terus memberi saingan kepada India dan Palestin dalam perebutan slot ke kejohanan berkenaan, dengan nasib skuad negara bakal ditentukan menerusi aksi terakhir kumpulan pada Jumaat ini.

Malaysia yang mendominasi perlawanan sejak wisel permulaan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Nur Azam Muslim Nor Hisham seawal minit kelapan sebelum Brian Harrison Paulus menggandakan kelebihan enam minit kemudian.

Ahmad Muzakif Fitri Muhamad terus menambah derita Guam apabila meledak gol ketiga pada minit ke-22 sebelum menjaringkan gol keduanya pada minit ke-35 selepas bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan, Joseph Paul Palomo.

Muhammad Shah Haqiqullah kemudian menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-40 sebelum Harrison Paulus mencetak gol peribadi keduanya dua minit kemudian.

Mohamad Fazryel Ashraf Zefri memastikan Malaysia menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan selesa 8-0 selepas meledak dua gol pada minit ke-44 dan masa kecederaan babak pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia terus menguasai permainan, namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-66 untuk menambah jaringan kesembilan menerusi Muhammad Haziq Shakirin.

Mohamad Fazryel kemudian melengkapkan hatrik pada masa kecederaan babak kedua sekali gus memastikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan kemenangan besar 10-0.

Malaysia dijadual berdepan India dalam aksi terakhir Kumpulan E pada Jumaat ini yang bakal menjadi penentu peluang skuad negara untuk mara ke Piala Asia B-17 2027. — Bernama

BERITA LAIN

Dua gangsa iringi persaraan Rapelson

KUCHING: Dua pingat gangsa pada Para SUKMA Selangor 2026 menjadi pencapaian terakhir atlet para renang Sarawak, Rapelson Richard Hamit, yang mengumumkan persaraan susulan pelaksanaan had

BERITA TERBARU

Lawas bukan lagi pekan hujung

MALAM ini, Lawas mencatatkan satu lagi detik penting dalam sejarah pembangunannya apabila Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Jambatan Bandar Lawas,