KUCHING: Skuad Kuching City FC berjaya menumpaskan Kelantan United FC (2-0) pada aksi separuh akhir kedua kempen Piala Cabaran 2023 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, petang tadi.
Sekali gus, mara ke pentas final buat julung kalinya dengan agregat 3-1.
Dua bintang import sensasi, Abu Kamara dan
Bruno De Araujo Dybal muncul wira buat The City Boys apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-40 dan ke-63.
Anak-anak buah Aidil Sharin Sahak diberi tentang sengit sepanjang saingan. Kedua-dua pasukan yang turun dengan satu misi mahu memastikan kemenangan selepas sekadar seri (1-1) aksi separuh akhir pertama si Kuching pada 22 Oktober lalu.
“Syukur dengan kemenangan diperoleh pemain. Apa yang mengembirakan sekali, kami berjaya mara ke final.
“Syabas kepada semua pemain yang telah melaksana tugas dan tanggungjawab mereka dengan sempurna sekali,” ujar Aidil kepada Arena.
Menurut Aidil, barisan kesebelasan yang diturunkan semalam berdepan tekanan cukup hebat sepanjang perlawanan.
“Pemain berjaya menyerap tekanan, malah turut mengadaptasi strategi yang telah diguna pakai serta memanfaat peluang dengan begitu baik sekali,” tambah Aidil lagi.



