SEJAK menyertai Liga Malaysia pada 1979, skuad bola sepak Sarawak tidak pernah menjuarai Piala Malaysia, walaupun hampir pasti melakukannya pada 1999, tewas 2-1 kepada pasukan Brunei dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka yang disaksikan sekitar 30,000 penonton.
Ketika itu skuad Sarawak dibimbing oleh Abdul Jalil Ramli dari Bintulu, yang juga bekas kapten Sarawak, dan terkenal dengan lontaran jarak jauh.
Jalil mempertaruhkan hampir semua tenaga tempatan seperti Bobby Pian, Ibrahim Mantali, Ramos Sari, Ramles Sari, Dahlan Matusin, Roslan Ismail, Zaidel Sakup, Efandy Sugandi, Gilbert Gawing, serta pemain import dari Semenanjung dan Sabah, Mazlan Wahed, Nazri Yunus dan Bobby Chua.
Sayangnya ketika itu, Sarawak turun tanpa ketua pasukan, Mohd Ali Sapiee, yang digantung ekoran menerima kad kuning kedua ketika perlawanan separuh akhir kedua, menentang Terengganu di Stadium Sarawak.
Ketika itu Sarawak menang 3-1, setelah terikat 1-1 di tempat lawan.
Brunei pula diperkuatkan dua import asing, Patron Akapo dan Brian Bothwell, serta pemain ternama tempatan seperti Rosli Liman, Rosanan Samak, Nordin Tujoh dan Rosaidi Khamis. Keduadua gol Brunei dijaringkan oleh Rosli Liman, manakala gol tunggal Sarawak disumbangkan oleh Ramles Sari.
Sepatutnya perlawanan akhir dilangsungkan di Stadium Sarawak atau Stadium Brunei untuk menarik lebih ramai penonton, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap memilih Stadium Merdeka.
Pada 1999 juga pasukan Sarawak kekal dengan maskot buaya (Bujang Senang) yang mula diperkenal sejak era Alan Vest (1991 hingga 1998). Selepas itu, tiada lagi ‘lambaian’ Piala Malaysia.
Mujurlah Sarawak menjuarai Piala FA 1992, Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998. Kali pertama pasukan Sarawak berpeluang untuk merangkul Piala Malaysia ialah pada 1988, ketika era kebangkitan Ngap Sayot, yang diasaskan oleh jurulatih flamboyan, Awang Mahyan Awang Muhammad.
Ketika itu, Sarawak berpeluang ke pentas final, setelah terikat 1-1 dengan pasukan Kedah dalam perlawanan separuh akhir pertama.
Namun malang bagi Sarawak apabila aksi kedua di Stadium Negeri, ditangguhkan ekoran para penyokong menerjah masuk ke padang, susulan tidak puas hati terhadap keputusan pengadil.
Perlawanan dihentikan dan diadakan di gelanggang berkecuali, Stadium Nasional Singapura.
Akhirnya Sarawak kalah 1-0, sekali gus kempunan tiket final.
Pada tahun tersebut, Kuala Lumpur muncul juara setelah mengatasi Kedah 3-0.
Ketika itu, Sarawak dibarisi seratus peratus anak tempatan, seperti Mohd Ali Sapiee, Affendi Jol, Pengiran Bala, Burhaniza Abu Bakar, Abu Bakar Amran, Jalil Ramli, Roslan Ismail, Buseman Ismail, Daud Hamid, Azmi Arif, Razak Ismail, Roslan Mustapha, Sulaiman Mustanir, Khairul Jamel, Herman Bulang dan beberapa pemain lagi.
Kini era 1999 dan 1988 hanya tinggal kenangan, dalam keadaan nama pasukan Sarawak lenyap dari peta Liga Malaysia.
Kali terakhir pasukan Sarawak memberi impak ialah ketika dipimpin oleh Robert Alberts, menjuarai Liga Perdana 2013.
Joseph Kallang Tie, Shahrol Saperi, Zamri Morshidi, Hairol Mokhtar serta Dzulazlan Ibrahim antara pemain utama ketika itu.
Patah tumbuh, hilang berganti… sekarang ini pasukan kelab, Kuching City FC (KCFC) yang ditubuhkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman pada 2015 mengambil alih tanggungjawab untuk menjulang semula nama Sarawak.
Bermula daripada Liga Bola Sepak Rakyat, KCFC mengorak langkah, layak ke Piala FAM, dan kemudiannya ke Liga Perdana dan seterusnya ke Liga Super, hingga sekarang.
KCFC akan membuka tirai saingan Liga Super 2025/26, menentang Kelantan United di Stadium Negeri Sabtu ini. Setelah memberi impak dalam saingan musim lalu (nombor empat), KCFC berpotensi untuk mara lebih jauh musim ini.
Malah antara pencabar utama penyandang juara, Johor Darul Ta’azim (JDT) dan Selangor FC.
Pada majlis pelancaran jersi baharu di Kuching Ahad lalu, menyaksikan sambutan luar biasa para peminat, terhadap KCFC… petanda awal akan adanya sokongan padu di Stadium Negeri.
Pengerusi KCFC, Fazzrudin Abdul Rahman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), menjelaskan, membawa pulang Piala Malaysia adalah impian utama pasukan.
“Itulah impian kita (juara Piala Malaysia), tetapi impian sahaja tidak cukup. Ia perlu disertai dengan disiplin, perancangan dan keyakinan,” ujarnya.
“Dengan doa anda, kehadiran anda di stadium, dan semangat anda, kita akan terus mara, langkah demi langkah, sehingga impian itu menjadi kenyataan,” katanya.
Dengan adunan tonggak tempatan, seperti Nur Shamie Iszuan, Jimmy Raymond, Mohamad Alif Hassan, Amir Amri Salleh, Rodney Celvin, Gabriel Nistelrooy, serta import tempatan, Haziq Nadzli, Ramadhan Saifullah, Daniel Amier, KCFC kelihatan begitu mantap.
Malah kehadiran import asing, Ronald Ngah, Jordan Mintah, James Okwuosa dan Petrus Shitembi menambahkan kekuatan pasukan. Pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak yang terkenal dengan strategi ampuh dan taktikal bijak, akan memperkasakan lagi skuad KCFC.
Yang pasti, KCFC membawa bersama bendera Sarawak, sebagai kesinambungan pasukan Ngap Sayot dan Bujang Senang dengan misi membawa pulang Piala Malaysia.
Mengambil kira kejayaan menempuhi pengembaraan penuh ranjau sejak 2015, KCFC berpotensi untuk melakar kejayaan yang lebih besar dalam setahun dua ini, di samping mengukuhkan jenamanya.



