KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, menegaskan bahawa tempoh 90 minit dalam suku akhir pertama menentang Sabah FC di Stadium Negeri, Petra, malam esok akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Misi serampang dua mata menjadi fokus jurulatih kelahiran Singapura itu, di mana beliau berhasrat untuk memastikan kemenangan dicapai dan mencari lebihan difisit gol sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di Kota Kinabalu nanti.
“Kemenangan menjadi fokus kita malam esok. Selain itu, kita mahu memastikan lebihan difisit gol dapat diperoleh untuk bekalan pada aksi timbal balik di Sabah,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau mengakui bahawa segalanya bukan mudah untuk direalisasikan, terutama dengan Sabah FC yang akan kembali diperkuatkan oleh beberapa pemain kebangsaan.
Kuching City dan Sabah FC telah bertemu seminggu lalu dalam Liga Super 2024/2025, di mana Sabah FC mencatat kemenangan 2-1.
Apa pun, menurut Aidil, rekod pertemuan tersebut menjadi penanda aras untuk mereka lebih berwaspada malam esok.



