Kuching FA diingatkan elak kesilapan mudah

BARISAN pertahanan Kuching FA diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan mudah setelah mendominasi saingan dan mendahului perlawanan.

Ia berlaku ketika Kuching FA tewas 3-2 kepada skuad Liga Super UiTM FC dalam aksi persahabatan pramusim di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Dalam aksi tersebut, Kuching FA mendahului 2-0 pada babak pertama melalui jaringan Rafiezan Razali dan Joseph Kallang Tie.

Namun UiTM bangkit pada babak kedua meledakkan tiga gol untuk meraih kemenangan.

Penolong jurulatih Kuching FA, Ideris Untong menjelaskan, pada babak kedua para pemain kelihatan letih.

“Dua kesilapan mudah pemain pertahanan dihukum pihak lawan dengan dua jaringan dalam tempoh tujuh minit,” ujarnya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, Ideris memuji aksi para pemain, terutama pada babak pertama.

“Kami menguasai permainan sepanjang 45 minit pertama… menjaringkan dua gol dan mencipta beberapa lagi peluang.

“Kombinasi pemain juga kelihatan begitu mantap… jadi ia merupakan petanda yang bagus,” ujarnya.

Menurut Ideris, perlawanan sukar seperti ini amat baik untuk para pemain menimba pengalaman dan membina keserasian.

Dalam aksi tersebut Kuching FA menurunkan gandingan Brazil, Leonardo Alves dan Hudson Dias di bahagian serangan.

Kedua-dua pemain handalan ini berupaya membentuk gandingan mantap bersama-sama tonggak utama, Joseph Kallang Tie.

UiTM pula membariskan kesebelasan terbaik, termasuk import asing handalan. UiTM dijangka akan tampil sebagai salah satu pencabar dalam kempen Liga Super 2020.

Sementara itu, Kuching FA akan membuka tirai saingan Liga Premier 2020 dengan menentang UKM FC di Stadium Sarawak pada 29 Februari ini.

Aksi persahabatan di Semenanjung merupakan rangka persiapan terakhir Kuching FA.

Suara Sarawak