Kuching FA langkah kanan, benam Ultimate 2-0 di Pulapol

CALON juara, Kuching FA memulakan saingan Liga M3 2019 dengan ‘langkah kanan’ setelah mengalahkan pasukan Ultimate FC 2-0 dalam aksi sulung di Stadium Pulapol petang Sabtu.

Bekas pemain Malaysia, Joseph Kallang Tie muncul wira Kuching FA apabila menyumbat kedua-dua gol iaitu pada minit ke-16 dan 50.

Menurut ketua jurulatih Kuching FA, Ideris Untong, perlawanan adalah seimbang dan mereka diberi tentangan sengit sepanjang saingan.

“Kami agak bernasib baik kerana memanfaatkan peluang.

“Ultimate bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka dibarisi beberapa pemain berpengalaman iaitu bekas pemain Selangor dan Perak,” katanya.

Secara keseluruhan Ideris berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya, terutama di bahagian pertahanan dan tengah.

“Banyak gerakan dari bahagian tengah. Cuma keadaan padang yang agak keras sedikit banyak mengganggu rentak kami.

“Walau apa pun, syukur kami dapat mebawa pulang tiga mata berharga,” katanya.

Sementara itu perlawanan menentang Langkawi Glory yang sepatutnya belangsung 23 Mac ini ditunda pada tarikh yang belum ditetapkan.

Kuching FA akan menentang Armed Forces di Stadium Negeri pada 30 Mac nanti.

TIGA MATA… Barisan pemain Kuching FA membawa pulang tiga mata setelah mengalahkan pasukan Ultimate FC 2-0 dalam aksi di Stadium Pulapol petang Sabtu.