KUCHING: Keadaan jerebu di Kuching boleh berubah dengan ketara dalam tempoh sehari bergantung kepada arah tiupan angin.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keadaan itu dapat dilihat ketika sambutan Hari Malaysia di Kuching pada 16 September lalu apabila cuaca baik sepanjang hari sebelum berubah buruk pada keesokan harinya.
“Pada 16 September, ketika kita menyambut Hari Malaysia di Kuching, keadaan sangat baik sepanjang hari sehingga kita dapat mengadakan pertunjukan bunga api yang cantik.

Tetapi keesokan harinya keadaan menjadi sangat buruk.
Jadi, ia boleh berubah begitu dan bergantung kepada arah angin,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak Pengambilan Kit Larian Kuching Marathon 2026 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Menurutnya, keputusan meneruskan acara luar perlu mengambil kira indikator daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), termasuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) yang merangkumi tahap sihat, tidak sihat, berbahaya dan sangat berbahaya.
Abdul Karim berkata, beliau dimaklumkan lebih 13,000 peserta telah mendaftar untuk Kuching Marathon 2026 dan berharap keadaan jerebu tidak menjejaskan kesihatan mereka.
Katanya, penganjuran maraton mempunyai kekangan tersendiri kerana acara berkenaan perlu dilaksanakan di kawasan terbuka, justeru keputusan perlu dibuat berdasarkan keadaan semasa.
“Saya tidak berada dalam kapasiti untuk menentukan sama ada perlumbaan itu perlu diteruskan atau sebaliknya. Perkara itu perlu mengambil kira pandangan penganjur, agensi berkaitan dan indikator JPBNS,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, kementeriannya turut menyalurkan bantuan bagi penganjuran acara sukan luar termasuk Regata dan maraton.
Katanya, keadaan jerebu yang berubah mengikut arah angin menyebabkan keputusan berkaitan penganjuran acara luar perlu dibuat berdasarkan situasi semasa.



