KUCHING: Perjalanan penuh liku bukan penghalang buat kumpulan Vokmat Frequency dari Kolej Vokasional (KV) Matang untuk menjulang gelaran juara Battle of the Band pada Festival Seni Kolej Vokasional (FeSKoV) 2026 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur.
Kejayaan itu diraih menerusi pertandingan yang berlangsung di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur dari 24 hingga 27 Julai ini, sekali gus mengharumkan nama Sarawak di pentas kebangsaan.
Guru pengiring merangkap pembimbing kumpulan, Ts. Alexander Nyangau Boniface, berkata kemenangan tersebut amat bermakna kerana beliau sendiri menyaksikan perjalanan jatuh bangun ahli kumpulan dalam usaha mencari keserasian dan membina keharmonian sebagai sebuah pasukan.
“Malah, ada satu ketika hampir kesemua mereka termasuk saya sendiri berhasrat untuk membubarkan band ini kerana berlaku ketidakharmonian sesama ahli.
“Bagaimanapun, saya menguatkan semangat dan dengan bantuan Eva Alicia Braoh yang juga guru pembimbing, kami berbincang serta bekerjasama untuk terus memberi motivasi kepada pelajar supaya terus mencuba kerana kami sebagai guru tahu minat mereka terhadap bidang muzik,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata perkara itu menjadi titik tolak kepada kebangkitan kumpulan apabila mereka mengambil keputusan menukar nama band kepada Vokmat Frequency sebagai simbol nafas baharu.
Menurutnya, nama tersebut membawa maksud semangat sefrekuensi yang melambangkan keserasian dan keharmonian dalam mengejar kecemerlangan.
“Bermula awal tahun ini, kami membuat persiapan untuk menghadapi FeSKoV peringkat negeri di Sibu. Ahli kumpulan sendiri mengakui mereka semakin menerima kelebihan dan kekurangan antara satu sama lain serta sentiasa berbincang untuk menghasilkan persembahan yang mencerminkan identiti mereka.
“Saya juga memberi lebih ruang kepada mereka untuk mengekspresikan kreativiti mengikut kemampuan dan kemahiran masing-masing.
“Daripada situ, saya dapat melihat sendiri gubahan lagu yang dihasilkan. Malah, ketika mereka membuat persembahan, saya dapat merasakan mereka benar-benar bermain dengan penuh jiwa dan memberikan komitmen yang tinggi. Di situlah saya melihat kesungguhan mereka,” ujarnya.

Kumpulan yang dibimbing oleh Ts. Alexander Nyangau Boniface, Eva Alicia Braoh dan Alif Akhbar Madini itu dianggotai tujuh pelajar, iaitu Muhamad Farhan selaku vokalis, Martin Joe (vokalis kedua dan pemain sape), Ian Augustine (gitar utama), Allen Sair (gitar kedua), Konstantine Trinithas (bass), Rowan Jalynn (perkusi) dan Ariel Prinz (dram).
Sehubungan itu, Alexander memaklumkan Vokmat Frequency terlebih dahulu muncul juara Battle of the Band FeSKoV 2026 peringkat negeri yang berlangsung di Sibu pada April lalu sebelum mengulangi pencapaian cemerlang apabila dinobatkan sebagai juara peringkat kebangsaan tahun ini.
Katanya, kejayaan KV Matang pada FeSKoV 2026 bukan hanya tertumpu kepada kategori Battle of the Band, malah turut mencatat pencapaian membanggakan dalam kategori lain.
Bagi kategori Duet, pasangan Boniface Leo dan Siti Alexsa Qaseh berjaya menduduki tempat kelima di bawah bimbingan Alexander, manakala Aquilla Mayang bertindak sebagai pengurus.
Sementara itu, bagi kategori Solo, Nur Syazlinna mewakili KV Matang di bawah pengurusan Aquilla Mayang dan bimbingan Alexander.





