SEMPENA Gawai, penyanyi muda berbakat dari Simanggang, Gibrael Mawat Clement, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Mawat, tampil dengan single terbaharu bertajuk Dayang Bintang.
Single tersebut merupakan sebuah karya unik yang menggabungkan elemen tradisi Iban dengan alunan muzik moden, sekali gus mencetuskan fenomena tersendiri di media sosial.
Namun, yang menariknya, menurut Mawat, lagu ini sebenarnya bukan dicipta khas untuk perayaan Gawai Dayak.
“Dayang Bintang tidak berkisar tentang sambutan Gawai secara langsung, tetapi disebabkan elemen-elemen Dayak yang kuat dalam muzik dan liriknya, lagu ini sangat sesuai dimainkan ketika Gawai,” jelas anak muda berusia 23 tahun itu, yang dilahirkan di Kuching dan kini menetap di Simanggang.
Selain itu, katanya, Dayang Bintang membawa dua mesej utama.
Pertama, tentang pujian dan keinginan untuk memikat seorang wanita yang digelar Dayang Bintang, dan kedua, berkisar tentang kepercayaan tradisional mengenai kewujudan dunia ‘bunian’ yang bersebelahan dengan dunia nyata.
“Orang tua-tua selalu berpesan, jangan tidur waktu petang, takut ‘masuk’ ke alam lain.
Lagu ini turut mengangkat unsur kepercayaan lama seperti itu,” jelasnya kepada Suara Sarawak.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal, Maxwel Franklin Saran, yang memilih untuk menghasilkan lagu dengan unsur Dayak sempena musim Gawai.
“Dari segi lirik, kami banyak memasukkan unsur permainan tradisional Iban atau ‘main asal adat’.
Melodinya pula diinspirasikan daripada gaya muzik Dayak Kalimantan,” ujarnya.
Proses rakaman lagu ini bukan mudah.
Ia melibatkan pelbagai cabaran iaitu dari penggabungan alat muzik tradisional seperti sape, tawak, bebendai, seruling bambu, hingga tungkat lemambang, sebatang tongkat simbolik yang biasanya digunakan dalam upacara tradisional Iban seperti Ramban.
“Lagu ini memang istimewa sebab tungkat lemambang bukan biasa kita dengar dalam lagu arus perdana tetapi kami masukkan juga demi memperlihatkan kekayaan budaya kita,” jelasnya.
Lebih menarik, Dayang Bintang turut menampilkan kolaborasi dengan pemuzik daripada Yayasan Budaya Dayak (DCF) yang menyumbang elemen bunyi etnik dan memperkukuh identiti lagu.
Muzik video pula dirakam di kawasan hutan dan sungai, lengkap dengan pakaian tradisional seperti sirat, ngepan dan kain dandung.
“Cabarannya banyak iaitu dari pemilihan lokasi ke kostum hingga ke jalan cerita muzik video yang kami rancang supaya mencerminkan nilai budaya Iban dengan jujur dan asli,” katanya.
Tidak disangka, ujarnya, reaksi awal peminat terhadap lagu ini amat memberangsangkan.
Ramai memuji keberanian Mawat membawa permainan tradisional Iban ke khalayak umum iaitu satu langkah yang dianggap luar biasa oleh generasi muda.
“Ada yang terkejut, sebab saya orang pertama dari generasi baharu muzik Iban yang menampilkan main asal adat dalam lagu.
Ia bagaikan kejutan budaya yang positif,” ujarnya.
Bagi Mawat, Dayang Bintang bukan sekadar lagu kerana ia adalah misi seni.
Harapannya supaya lagu ini dapat menyemarakkan semangat Gawai dan menyuntik kesedaran dalam kalangan anak muda tentang pentingnya mempertahankan warisan budaya.
“Saya harap generasi muda berani meneroka adat sendiri. Jangan biar adat kita hilang ditelan zaman,” tambahnya.
Tahun ini, Mawat pulang menyambut Gawai di kampung halamannya di Munggu Sawa, Pantu, Sri Aman menyambut tetamu yang datang ngabang dan membantu orang tua menyediakan juadah tradisional.
“Menu wajib, mestilah lauk pansuh,” katanya sambil ketawa.
“Saya juga ngabang ke rumah keluarga lain. Itulah rutin Gawai kami,”kongsinya.
Dengan semangat dan keberanian menampilkan identiti budaya secara kreatif, Mawat membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, ia adalah jambatan antara generasi dengan antara warisan dengan masa depan.



