ARTIKEL

Lahir pempengaruh bahasa, sastera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) ibarat taman asuhan kerana di situlah benih bakat disemai, disiram dengan ilmu, dan dipangkas dengan disiplin bahasa sehingga tumbuh menjadi pohon sastera yang rendang. 

Presiden Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Dayang Azizah Mohd Salleh berkata, melalui bengkel penulisan, sayembara, penerbitan dan bimbingan editorial, DBP bukan sekadar melahirkan penulis, tetapi membentuk jiwa pengarang yang tahu memintal makna dan mengangkat bahasa sebagai wahana membina tamadun bangsa. 

Namun, sejauh mana keberkesanannya bukan hanya terletak pada jumlah penulis yang lahir, tetapi pada keberanian karya mereka menembusi zaman sehingga menjadi obor dalam kegelapan. Sukar untuk kita nafikan hakikat bahawa nama-nama besar dalam dunia penulisan seperti Usman Awang, A Samad Said, Abizai sinonim dengan DBP.

“Seiring masa, saya fikir ada keperluan DBP untuk beralih daripada ‘taman berpagar’ kepada ‘rimba terbuka’ dengan memperluas program mentor menti secara digital, membuka ruang kolaborasi rentas disiplin (filem, muzik, animasi) dan membimbing penulis agar karya mereka bukan hanya indah tetapi relevan dengan denyut nadi semasa,” katanya.

Menurutnya, DBP seperti usahawan yang menawarkan impian penulis kepada khalayak. 

“DBP juga usahawan yang setia di persimpangan pasaran buku yang ada kala sunyi dan sesekali meriah. DBP membawa buku ke pameran, festival dan rak-rak perpustakaan. 

“Banyak karya telah diangkat ke pentas kebangsaan, malah antarabangsa dan menjadikan sastera bukan sekadar bacaan tetapi cerminan identiti masyarakat,” tambahnya.

Namun, dalam dunia yang riuh dengan bunyi algoritma jelasnya, suara sastera kadangkala tenggelam seperti puisi yang dibaca di tengah pasar malam. 

“Promosi konvensional tidak lagi cukup untuk menyaingi derasnya arus media sosial.

“Saya kira wujud keperluan untuk DBP menjelmakan karya menjadi pengalaman pembaca seperti adaptasi kepada bentuk visual (drama pendek, animasi, buku audio), memanfaatkan platform seperti TikTok dan YouTube, serta melahirkan “pempengaruh sastera” yang mampu menjadikan buku sebagai trend atau sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

“Generasi muda hari ini adalah pengembara layar, generasi yang membaca dalam kilat, berfikir dalam klip dan merasai dunia melalui skrin. Buku tebal sering kalah kepada video satu minit, ayat yang panjang tenggelam dalam kapsyen ringkas.

“Bagi DBP, ini bukan sekadar cabaran, tetapi perubahan lanskap. Bagaikan nelayan lama yang kini harus memahami ombak digital. Jika tidak, sastera akan kekal di darat, sementara pembaca belayar jauh ke lautan lain,” katanya.

Justeru tambahnya, DBP kini perlu memeluk teknologi dengan lebih erat, menghasilkan kandungan mikro (microfiction, puisi visual) yang mesra tatal atau membangunkan aplikasi sastera interaktif. 

Jika lebih berani, katanya, mengintegrasikan elemen gamifikasi dalam pembacaan seterusnya menjadikan bahasa dan sastera sebagai gaya hidup digital, bukan sekadar subjek akademik atau berada di pinggir arus digitalisasi.

“Tuntasnya, DBP harus menjadi bukan hanya penjaga khazanah, tetapi juga arkitek masa depan yang mampu menulis semula takdir sastera dalam bahasa generasi kini. 

“Saya yakin DBP dengan segala kelebihan yang ada termasuk pengalaman yang luas akan mampu lebih berperanan melahirkan penulis kalis masa depan dengan sastera dan bahasa sebagai tunjang penting. 

“Teruskan perjuangan, DBP. Persatuan Karyawan Sastera Sarawak siap siaga menjadi sayap gerak kerja.

“Syabas kepada DBP atas sejarah perjuangan panjang yang telah banyak mewarnai lanskap bahasa, sastera dan budaya negara,” katanya.

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

BERITA TERBARU