KUCHING: Pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan Empat dinobatkan selaku Raja Sungai Sejijak selepas menjuarai acara akhir Raja Sungai Sejijak Tertutup 2025 yang berlangsung pada Ahad.
Perahu bernombor 14 itu berjaya memintas kelapan-lapan perahu yang lain dengan meninggalkan mereka jauh ke belakang, sekali gus mengesahkan kedudukan selaku juara kategori tersebut.

Permulaan perlumbaan menyaksikan semua perahu saling bersaing dengan mengeluarkan kayuhan terbaik pada garisan awal 200 meter, sebelum perahu bernombor 14 mula mengorak langkah dengan meningkatkan kayuhan sehingga menyebabkan perahu-perahu lain ketinggalan.
Kedudukan selaku Raja Sungai semakin meyakinkan apabila pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan Empat kekal selesa di hadapan pada laluan 400 meter terakhir sebelum menamatkan kayuhan di garisan penamat dengan penuh bergaya.
Pantai Damai Binladen Tiga yang menjadi pencabar utama sekadar berpuas hati di tempat kedua selepas gagal memintas pada saat akhir, manakala tempat ketiga dirangkul oleh pasukan Mahkota Dewa Gedong.
Bagi acara akhir kayak perseorangan lelaki bawah 18 tahun, Muhammad Iqhwan Wildan Madjais muncul juara, diikuti Vanickson Sani di tempat kedua dan Nor Salihin Sarbini di tempat ketiga.

Acara 10 pekayuh lelaki tertutup saringan B dimenangi oleh Sinaran Ratu Balqis N6 Tupong, diikuti Pantai Damai Binladen 2 selaku naib johan, manakala Sinaran Ratu Siska N6 Tupong di tempat ketiga.
Acara 25 pekayuh lelaki Terbuka saringan B pula menyaksikan Pantai Damai Binladen muncul juara, diikuti Landas Danawa Kasihnya Warisan 8 di tempat kedua dan Landas Danawa Kasihnya Warisan 7 di tempat ketiga.
Sementara itu, acara 15 pekayuh lelaki saringan B dimenangi oleh Landas Azam Kasihnya Warisan 19, naib johan disandang oleh Diyong Hitam, manakala Pantai Damai Binladen 2 menduduki tempat ketiga.
Acara 10 pekayuh lelaki saringan B turut menyaksikan EM Madison Sambas muncul juara, diikuti Sinaran Ratu Balqis N6 Tupong sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Pantai Damai Binladen.



