KUCHING: Sebatang pokok tapang yang dianggarkan berusia 300 tahun bukan sekadar tumbuhan tua di sebuah perkampungan Bidayuh, sebaliknya menjadi saksi bisu sejarah, perjalanan dan hubungan masyarakat itu dengan alam sejak turun-temurun.
Pensyarah Fakulti Alam Bina, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Azimah Arzmi berkata, pokok berkenaan antara contoh bagaimana landskap Bidayuh menyimpan memori kolektif yang mungkin tidak lagi diketahui generasi muda.
Katanya, selain menjadi penanda arah kepada penduduk suatu ketika dahulu, pokok itu turut mempunyai kaitan dengan amalan masyarakat pada masa lalu, sekali gus memperlihatkan hubungan rapat manusia dengan alam dalam kehidupan masyarakat Bidayuh.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “The Living Landscape of Bidayuh Hinterlands” di Auditorium Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Azimah menjelaskan, hasil kunjungannya ke beberapa kampung Bidayuh turut menemukan tempat suci yang kini semakin sunyi, termasuk rumah gawai atau “Baruk”, bekas ruang ritual serta tinggalan binaan yang masih dijaga masyarakat walaupun tidak lagi digunakan seperti dahulu.
Katanya, perubahan kepercayaan dan cara hidup menyebabkan sebahagian ruang berkenaan tidak lagi menjadi tempat amalan, namun tinggalannya terus membawa nilai sejarah kepada komuniti.
Dalam usaha memastikan memori berkenaan tidak hilang, Azimah turut bekerjasama dengan penduduk menghasilkan peta yang merekodkan sejarah lisan serta lokasi penting berdasarkan cerita yang dikongsi komuniti sendiri.
Peta itu diharap dapat menjadikan sejarah lisan lebih mudah dibaca dan difahami oleh generasi muda, termasuk anak dan cucu masyarakat kampung.
Namun, katanya, hak terhadap cerita dan pengetahuan tersebut kekal milik komuniti, manakala beliau hanya membantu dari segi reka bentuk dan pemetaan.
Justeru, katanya, pemeliharaan landskap akhirnya bukan sekadar usaha menjaga alam, tetapi turut menjadi cara mengarkibkan memori kolektif masyarakat Bidayuh yang terikat dengan sejarah penghijrahan, nenek moyang, adat dan hubungan kerohanian dengan alam.



