BETONG: Bahagian Betong kembali menjadi tumpuan dengan penganjuran Kejohanan Futsal Terbuka Wanita Sarawak 2025 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.
Kejohanan dua hari itu dianjurkan oleh Kelab Beliawanis Betong dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) bertempat di Dewan Mini Stadium Betong.
Pengerusi Kejohanan, Florina Sandai Josua berkata, lapan pasukan akan berentap bagi memburu gelaran juara pada kejohanan berkenaan.
Katanya, pasukan yang mengambil bahagian mewakili pelbagai kelab handalan dari sekitar Betong, Saratok, Kabong dan juga Kuching.
“Kita menjangkakan saingan sengit sepanjang dua hari kejohanan berlangsung.
“Pasukan yang turut serta diperkuatkan barisan pemain handalan dan cukup berpengalaman,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Lapan pasukan terbabit ialah Avengers Romanoff (Betong), Lady Blaze FT (Saratok), Ladies (Saratok) dan Sessang Tigris (Kabong).
Turut serta empat pasukan dari Kuching iaitu Polycats A, Polycats B, UGFT dan AFA FC.
Florina menegaskan, hadiah menarik menanti tiga pasukan terbaik pada kejohanan kali ini.
Juara akan menerima wang tunai RM1,500 beserta pingat dan sijil.
Naib juara membawa pulang RM1,000 berserta pingat dan sijil.
Manakala dua pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima RM500 selain pingat dan sijil selaku pemenang tempat ketiga bersama.
“Pihak kami juga menyediakan anugerah pemain terbaik dan penjaga gol terbaik,” tambahnya.



