ARTIKEL

Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas Persidangan DUN Sarawak, hari ini. - Foto: Ghazali Bujang

Lapangan terbang antarabangsa baharu dirancang dibangunkan di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lapangan terbang antarabangsa baharu dirancang dibangunkan di Kuching bagi menyokong industri penerbangan yang semakin berkembang di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata dengan pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) khasnya, Sarawak bersedia menjadi satu lagi hab penerbangan serantau bagi ASEAN.

Menjelas lanjut, beliau berkata pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu itu dirancang kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tidak dapat menampung jumlah penerbangan dan penumpang yang semakin bertambah.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita melihat dan juga membangun lapangan baharu kerana lapangan terbang sedia ada (LTAK) sudah melebihi kapasiti,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi membangunkan lapangan terbang itu.

“Kita akan bincang dulu dengan MAHB, sama ada MAHB menjadi rakan kongsi untuk membangunkan lapangan terbang ini, kerana ia bergantung kepada keupayaan dana, mungkin kita akan bangunkan bersama dengan MAHB,” katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai lokasi lapangan terbang antarabangsa baharu itu nanti, beliau berkata ia akan dikenal pasti dan dimaklumkan kelak.

Manakala mengenai status LTAK selepas itu, Abang Johari berkata ia boleh digunakan sebagai lapangan terbang untuk jet peribadi.

“Lapangan terbang sedia ada (LTAK) tidak mencukupi.

“Apabila kita mempunyai lapangan terbang baharu, kemudian kita lihat apa yang hendak dilakukan dengan lapangan terbang lama, mungkin ia boleh jadi lapangan terbang untuk jet peribadi,” katanya.

BERITA LAIN

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.