BINTULU: Pasukan Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming membuat laporan polis berhubung kewujudan akaun Facebook palsu yang menyamar sebagai wakil rakyat berkenaan pagi ini.
Pasukan tersebut turut memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi melindungi kepentingan awam.
Menurut Johnny Pang, kejadian akaun palsu ini bukanlah kes atau perkara baharu dan perkara ini amat membimbangkan.

“Perbuatan menyamar sebagai individu lain dengan membuat akaun palsu bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah mampu melibatkan gejala penipuan atau aktiviti tidak wajar.
“Oleh yang demikian, perkara ini tidak boleh dipandang enteng,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat bagi menangani isu ini secara serius.
Jelasnya, dengan adanya campur tangan pihak berkuasa, aktiviti seperti ini dapat dicegah dan dibanteras.
Dalam pada itu, Johnny Pang menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika melayari media sosial, memastikan kesahihan akaun serta tidak mudah mempercayai maklumat daripada sumber yang tidak sah.
Ujarnya, perkara ini terutamanya melibatkan wang, data peribadi atau pautan mencurigakan.
“Sesiapa yang menemui akaun palsu atau sebarang aktiviti yang mencurigakan, disarankan untuk segera melaporkannya kepada pasukan khidmat kami atau platform berkaitan, demi memelihara keselamatan dan ketenteraman ruang siber,” tambahnya.
Johnny Pang turut menegaskan bahawa ruang siber bukanlah tempat bebas daripada undang-undang.
Tegasnya, mana-mana pihak yang terlibat dalam penyamaran identiti atau salah laku hendaklah dikenakan tindakan undang-undang demi melindungi kepentingan awam.



