KUCHING: Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) Cawangan Kuching menyeru sektor korporat dan orang ramai untuk menyertai acara Kuching Mental Health Charity Run 1.0 yang akan berlangsung di Taman Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada 2 November depan.
Menurut MHAS, penyertaan turut dibuka kepada pelari, penaja, sukarelawan dan penyokong dalam usaha menyebarkan maklumat serta meningkatkan kesedaran ke arah mewujudkan Sarawak yang lebih sihat dari segi mental.
“Acara komuniti ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan mengurangkan stigma berkaitan kesihatan mental.
“Ia menyokong matlamat jangka panjang MHAS dalam mengumpul dana bagi pembinaan sebuah bangunan dua tingkat yang akan menempatkan pejabat pentadbiran, ruang komuniti serta sebuah Halfway Home bagi individu yang sedang menjalani pemulihan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah MHAS, Halfway Home atau Rumah Hidup Berdikari ialah fasiliti kediaman yang menyediakan persekitaran berstruktur serta menyokong individu dalam proses peralihan daripada institusi kesihatan mental kepada kehidupan bermasyarakat.
“Ketika ini, Rumah Pemulihan MHAS beroperasi di Banglo Lada, Sentosa, di sini,” ujarnya.
Larian amal itu terbuka kepada semua peringkat umur dan menawarkan dua kategori utama iaitu Fun Run sejauh 3 kilometer (km) serta larian 5km, dengan yuran pendaftaran hanya RM50.
Peserta akan menerima baju larian, pingat dan nombor bib serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.
Pendaftaran kini dibuka sehingga 30 September dan boleh dibuat melalui pautan https://cps4.me/KMHCR25. Kod QR pendaftaran juga disediakan melalui platform rasmi MHAS Cawangan Kuching.
Acara ini turut mendapat sokongan City Joggers Club, sekali gus mencerminkan kerjasama komuniti dalam mempromosikan kesejahteraan mental dan fizikal secara holistik.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Sylvester di talian 016-8082015, Angelicia (013-8236097) atau e-mel ke: info@mhasarawak.com untuk maklumat lanjut.
Untuk sebarang pengumuman terkini, ikuti MHAS Cawangan Kuching di Facebook dan Instagram.
Pelancaran rasmi larian tersebut turut diadakan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025 yang berlangsung pada 5 Julai lalu di Hotel Imperial Kuching.
Mesyuarat itu menghimpunkan para ahli serta pemegang taruh dalam usaha memperkukuh advokasi, sokongan dan pendidikan berkaitan kesihatan mental dalam komuniti.
Turut diadakan ialah taklimat mengenai skim mySalam yang memfokuskan peluasan skop perlindungan terkini merangkumi penyakit mental seperti Skizofrenia, Gangguan Bipolar dan Kemurungan Utama.






