JULAU, 5 Ogos: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No. 2 menerima RM20,000 untuk membaiki penghawa dingin dan RM10,000 untuk membina gelanggang pickleball.
Peruntukan itu diumumkan oleh Pengerusi Majlis Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) merangkap Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Larry berkata, sumbangan itu diberikan sebagai tanda sokongan berterusan beliau terhadap sekolah dan pendidikan di Julau.
Selain itu, Larry memuji disiplin pelajar di sekolah berkenaan yang sepatutnya menjadi contoh dan model kepada sekolah lain.
“Saya lihat disiplin pelajar di sekolah ini agak tinggi. Kalau kita lihat, ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah ini bukan sahaja dari Julau, malah dari Kanowit, Selangau, Sibu dan tempat lain,” kata Larry.
Tambah beliau, ibu bapa memilih menghantar anak ke sekolah itu kerana mendapati prestasi pelajar di SMK Julau No. 2 jauh lebih baik dari segi pendidikan, iaitu lebih tinggi daripada keputusan kebangsaan.
Justeru, beliau berharap pelajar di SMK Julau No. 2 dan sekolah lain dapat terus berjaya dalam pelajaran.
“SMK Julau No. 2 saya amat menyanjung tinggi, dan ia merupakan antara sekolah yang berjaya di Sarawak dari segi pentadbiran, kebersihan dan lain-lain.
“Saya percaya bahawa kita boleh menang dan bersaing di peringkat kebangsaan dalam pertandingan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, bantuan disediakan melalui Tabung Pendidikan Larry Sng (LSEF) bagi menggalakkan pelajar ke sekolah, dan Kerajaan Negeri Sarawak turut memberi bantuan.
“Kami sentiasa mementingkan pendidikan dan berharap dapat bergerak ke hadapan dengan cepat bagi membantu pelajar kita,” katanya.



