KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) yang diiktiraf sebagai Seniman Negara kesembilan berharap anugerah yang diterimanya semalam menjadi dorongan kepada generasi masa ini yang menceburi bidang seni visual.
“Di usia macam ini, saya nak bagi dorongan kepada angkatan sekarang, generasi terkini dan juga generasi akan datang dalam bidang seni lukis, kartun dan penulisan kerana bidang ini juga mustahak untuk negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk kerajaan yang mengiktiraf jasa dan sumbangan anak seni.
Telah berkecimpung selama 60 tahun dalam dunia kartun, Lat mendapat pelbagai pengiktirafan dan gelaran antaranya Tokoh Warisan Orang Hidup, Ikon Budaya, Seniman Diraja Perak, Wira Budaya, Anak Malaysia dan Seniman Rakyat.
Sinonim dengan kartun Kampung Boy (1979) yang mencerminkan budaya bangsa serta kehidupan masyarakat di negara ini, karya itu menjadi karya agung beliau yang dikenali di peringkat antarabangsa dan menerima sambutan menggalakkan.– BERNAMA



