ARTIKEL

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan

Lawatan Ke Myanmar Bukan Bermakna Iktiraf Junta – Mohamad Hasan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Lawatan delegasi Malaysia ke Myanmar pada Mei lepas bukan pengiktirafan terhadap kerajaan baharu Myanmar selepas pilihan raya, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada usaha ASEAN mengekalkan saluran komunikasi dalam menangani krisis di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf junta Myanmar dan lawatan tersebut juga tidak sama sekali menjejaskan pendirian Malaysia serta ASEAN berhubung pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).

Beliau berkata lawatan itu dibuat susulan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 yang meminta menteri luar ASEAN meneruskan libat urus secara tidak rasmi dengan Myanmar.

“Saya bertemu beliau (Menteri Luar Myanmar U Than Swe) di hotel, bukan di pejabat Menteri Luar. Saya menyampaikan perkara-perkara yang Malaysia dan ASEAN mahu lihat supaya keadaan di Myanmar berubah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berhubung sentimen yang mendakwa pertemuan delegasi Malaysia dengan Menteri Luar Myanmar seolah-olah menormalisasikan keabsahan junta.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata dalam pertemuan itu beliau turut mengingatkan Myanmar bahawa selain mempunyai hak sebagai anggota ASEAN, negara itu juga perlu memenuhi obligasinya sebagai anggota komuniti serantau.

“Saya maklumkan kepada beliau bahawa Myanmar ada hak sebagai anggota ASEAN, tetapi pada masa yang sama perlu mempertimbangkan tanggungjawab dan obligasinya sebagai anggota ASEAN,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan terus mengekalkan dialog dan komunikasi dengan Myanmar kerana ASEAN tidak mahu negara itu terus dipinggirkan sehingga mewujudkan kekosongan yang boleh dimanfaatkan pihak luar.

“Kita mesti memastikan komunikasi dengan Myanmar sentiasa ada kerana kita tidak mahu Myanmar ditinggalkan begitu sahaja. Jika ia terus dipinggirkan, akan wujud satu vakum yang akhirnya diisi oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu sehingga memudaratkan ASEAN secara keseluruhannya,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia akan mengadakan satu lagi siri pertemuan dengan pemegang taruh Myanmar yang dijangka diadakan pada awal atau pertengahan Julai sebagai kesinambungan kepada usaha mencari penyelesaian terhadap krisis berkenaan.

Beliau berkata Malaysia akan terus menggesa semua pihak menghentikan keganasan, melaksanakan gencatan senjata, mengadakan dialog secara terangkum serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Myanmar sejajar dengan matlamat 5PC.

— BERNAMA 

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi