MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengulangi pendirian bahawa tidak semua atlet yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik akan dimasukkan dalam program Road To Gold (RTG).
Hannah berkata semua atlet mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menerusi Program Podium dan mereka berada dalam RTG adalah yang menghuni kelompok 10 terbaik dunia atau berpeluang mendapatkan pingat emas
. “Dalam RTG mereka (atlet) ada sokongan asas Podium yang kita bagi kepada semua yang layak ke Olimpik.
“Tetapi untuk RTG kita mendengar apa lagi perkhidmatan tambahan yang boleh memperkasakan lagi peluang mereka mendapatkan emas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras semalam.
Pada masa sama, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa membuka pintu untuk bertemu dengan mana-mana atlet yang berjaya layak ke Sukan Olimpik termasuk pelumba berbasikal lebuh raya wanita Nur Aisyah Mohamad Zubir.
“Pintu kita sentiasa terbuka dan semua persatuan sukan tahu mereka ada akses kepada MSN
. Cuma sukar untuk saya respons setiap kali atlet layak ke Olimpik, kerana proses kelayakan sedang berjalan tapi memang kita sebaik mungkin, kalau kita ada peluang, kita akan pergi berjumpa (atlet),” katanya
. Terdahulu, Nur Aisyah menjadi pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkannya slot ke Paris 2024 berdasarkan ranking dan prestasinya yang konsisten.
“Butiran mengenai perkara ini Ketua Pengarah MSN sedang teliti dengan KWSP dan Perkeso, sesi libat urus telah berjalan semalam.
Saya percaya yang kita komited nak Januari nanti (tahun depan) perlindungan ini akan bermula untuk atlet Progam Podium kita,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Hannah berkata KBS bersama MSN sedang meneliti semula skim gaji jurulatih negara dalam usaha menarik minat jurulatih tempatan termasuk yang bekerja di luar untuk kembali menabur bakti di tanah air.
“Mereka dilatih di sini kemudian diserap ke sana. Itu yang kita tak nak, kita pastikan bakat kita di sini untuk bantu atlet Malaysia,” katanya.- Bernama



