Lee Chong Wei bantu Zii Jia juara

“KAMU perlu menjadi diri sendiri kerana jurulatih tidak boleh membantu dengan banyak ketika kamu berlawan di atas gelanggang.”

Itulah nasihat daripada pemain badminton tersohor dunia Datuk Lee Chong Wei yang amat bermakna, hingga membantu pemain perseorangan badminton utama negara Lee Zii Jia, untuk berusaha sehingga memenangi Kejohanan All England 2021 malam tadi.

Zii Jia, pemain nombor 10 dunia, yang juga pemain pilihan keenam kejohanan, telah mengatasi semua halangan.

Pemain kelahiran Alor Star berusia 22 tahun itu mengakui, Chong Wei yang telah memenangi kejohanan badminton tertua dunia itu empat kali, kerap berhubung dengannya untuk memberikan kata-kata semangat sebelum beliau memasuki gelanggang pada mana-mana kejohanan.

“Chong Wei juga berkata, jurulatih akan membantu kamu 20 peratus, manakala kita perlu ada lagi 80 peratus untuk berlawan,” katanya dalam satu video dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepada media.

Mengenai perlawanan akhir Zii Jia berkata, beliau hanya mendapat satu peluang memenangi gelaran itu, dan ia adalah ketika Axelsen mula hilang fokus pada set penentuan.

Zii Jia mengakui yang dia mengasak ketika Axelsen keletihan, sehingga menjarakkan mata bagi membolehkan beliau menang.

“Tentunya ia satu perlawanan yang sukar, terutamanya pada set pertama, dan selepas tewas pada set kedua, saya katakan pada diri saya hanya untuk fokus pada setiap mata, kerana jika saya hilang tumpuan, pihak lawan akan menggunakan kelebihan itu.

“Pada saya, kami berdua bermain dengan amat baik, sehingga set ketiga, di mana Axelsen mula hilang fokus dan pada ketika itu, saya ada kelebihan untuk menewaskan beliau,” katanya.

 

Suara Sarawak