ARTIKEL

Lelaki 11 Rekod Jenayah Dadah Tumpas di Kuching, Pelbagai Jenis Dadah Dirampas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah diberkas polis dalam satu operasi di tepi Jalan Canna, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1,750, termasuk methamphetamine, ganja, ketamin dan pil Erimin 5.

Beliau berkata, penahanan itu adalah hasil risikan rapi dan tindakan pantas pasukan dari Balai Polis Tabuan Jaya yang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui lima paket plastik berisi ketulan hablur kristal disyaki methamphetamine seberat 12 gram, satu paket serbuk putih disyaki ketamin (0.4 gram), dua paket dedaun kering disyaki ganja (2.25 gram), sebiji pil Erimin 5 (0.25 gram), serta dua botol cecair dipercayai mengandungi ganja dengan jumlah keseluruhan 12 mililiter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Semakan lanjut pula kata Alexson, suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk empat kes di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika disabitkan kesalahan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari bermula 8 hingga 11 November bagi membantu siasatan lanjut.

Alexson turut menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah, sambil menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak polis.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited membanteras dadah demi melindungi generasi kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU