KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine bernilai RM550 dalam satu operasi di tepi Jalan Stutong Baru, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga anak Chabu berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Maong sekitar pukul 2.30 petang hasil risikan dan maklumat awam.
“Pemeriksaan terhadap suspek menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat lima gram dengan nilai pasaran dianggarkan sebanyak RM550,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Alexson, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamina dan metamfetamina.
Siasatan lanjut turut mendedahkan suspek mempunyai rekod lampau membabitkan sembilan kes dadah termasuk di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, ujarnya.
Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula 2 hingga 4 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali,” jelasnya.
Alexson menegaskan, kejayaan tersebut adalah hasil tindakan pantas pasukan polis serta kerjasama masyarakat setempat yang menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di kawasan mereka.
Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah, tambah beliau.
Dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara, tegasnya.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-208 7222 atau 017-592 9211 (JSJN IPK Sarawak).



