MUKAH: Seorang lelaki warga tempatan berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes cubaan mencuri transformer syarikat SESCO Berhad di tepi Jalan Kuala Balingian, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu ditahan lebih kurang 2.30 petang.
“Beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri transformer dan kabel turut dirampas.
“Modus operandi suspek ialah menarik transformer yang diletakkan di atas panel tiang elektrik menggunakan kenderaan hingga jatuh dan mencuri komponen tembaga yang ada di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujar Rizal, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan dua rekod lampau kes dadah.
Tambahnya, suspek direman empat hari sehingga 14 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerima satu laporan daripada pengadu iaitu juruteknik syarikat SESCO Berhad berkaitan satu transformer milik syarikat bersaiz 50 kVA di Jalan Kuala Balingian dijatuhkan kerana cubaan mencuri oleh individu tidak dikenali.
Semasa pengadu tiba di tempat kejadian, kelibat tiga orang suspek dilihat melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan anggaran nilai kerugian berjumlah RM20,000.
Tegas Rizal, usaha untuk mengesan rakan sejenayah dan kenderaan yang digunakan sedang giat dijalankan.






