KUCHING: Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap dua orang jirannya dan menceroboh rumah mangsa.
Lelaki tersebut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan menyerang dua orang mangsa wanita berusia 57 tahun dan 28 tahun menggunakan sebatang kayu.
Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah mangsa wanita berusia 57 tahun tanpa kebenaran dengan niat untuk menakut-nakutkan mangsa.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Malihah II, Jalan Matang, sekitar 5.45 pagi, 16 Oktober lepas.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin tunai RM3,000 dan dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 23 November depan.
Difahamkan, pada hari kejadian satu pertengkaran berlaku di antara mereka apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva yang diletakkan di hadapan rumah pengadu, menghalang laluan keluar kereta anaknya.
Tertuduh dikatakan membaling bekas plastik putih ke arah pengadu, namun tidak terkena pada pengadu.
Susulan itu, tertuduh yang berang lalu memanjat tembok pemisah di antara kedua rumah lalu masuk ke kawasan rumah pengadu.
Semasa memasuki kawasan rumah pengadu, tertuduh mengambil sebatang kayu lalu menghayunkan beberapa kali kepada pengadu dan anaknya dengan tujuan untuk menakut-nakutkan mereka.
Anak perempuan pengadu cuba mengelak daripada terkena kayu tersebut tetapi dia merasakan ada objek yang mengenai kepalanya.
Laporan polis dibuat oleh pengadu untuk tindakan dan siasatan lanjut.





