BAU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bau meneruskan usaha memantau kebajikan golongan rentan menerusi lawatan susulan kepada seorang penduduk yang tinggal bersendirian di kawasan Buso, baru-baru ini.
Lawatan diketuai pengerusinya, Chong Yie Loong, bersama-sama pasukan beliau bagi meninjau keadaan individu berkenaan serta mengenal pasti keperluan yang memerlukan perhatian lanjut.
Penduduk itu tinggal bersendirian di sebuah kediaman sederhana di kawasan hutan, dengan kehidupannya semakin mencabar selepas kehilangan pasangan pada awal tahun ini.

Sepanjang lawatan, Chong dan pasukannya meluangkan masa mendengar masalah serta berkongsi pandangan dengan penduduk berkenaan bagi memahami keadaan semasa, selain meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian mengikut keperluan dan kemampuan.
Chong berkata, usaha membantu masyarakat tidak seharusnya terhenti pada pemberian bantuan segera, sebaliknya memerlukan pendekatan berterusan untuk memahami situasi sebenar individu yang memerlukan perhatian.
Menurutnya, setiap kes mempunyai keperluan berbeza dan memerlukan pendekatan bersesuaian bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan penerima.
Beliau menegaskan SUPP Cawangan Bau akan terus mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya golongan yang menghadapi kesukaran hidup atau mempunyai jaringan sokongan keluarga yang terhad.





