ARTIKEL

Program Pintar Kreatif Perkukuh Potensi Kanak-Kanak Tabika Perpaduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak terus memperkukuh pembangunan potensi kanak-kanak menerusi Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan bagi melahirkan generasi yang kreatif, berkeyakinan dan mempunyai sahsiah positif.

Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Sarawak Giri Nyareng berkata program itu menjadi platform untuk mencungkil bakat dan kreativiti kanak-kanak, selain meningkatkan keyakinan diri mereka ketika membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.

Beliau berkata penyertaan dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan turut memberi peluang kepada kanak-kanak mengembangkan potensi diri, membina keberanian serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi.

“Program Pintar Kreatif merupakan platform untuk mengetengahkan kebolehan, bakat dan kreativiti kanak-kanak Tabika Perpaduan melalui pelbagai aktiviti dan persembahan yang bersesuaian dengan peringkat usia mereka.

“Program ini juga selaras dengan usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak secara holistik bagi melahirkan generasi yang dinamik, aktif, inovatif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu 2026 di sini hari ini (Khamis).

Giri berkata pendidikan awal kanak-kanak bukan sahaja menekankan penguasaan ilmu dan kemahiran asas, malah turut memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah, perkembangan emosi, kemahiran sosial serta keupayaan berfikir secara kreatif dan kritis.

Menurutnya, Tabika Perpaduan turut memainkan peranan penting dalam memupuk semangat patriotisme, menyemai nilai perpaduan dan membentuk sikap saling menghormati dalam kalangan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik.

Katanya, penerapan nilai berkenaan sejak usia awal penting bagi membina kefahaman tentang kepelbagaian masyarakat serta melahirkan generasi yang menghargai keharmonian dan mengamalkan semangat kebersamaan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pegawai, guru dan penolong guru Tabika Perpaduan atas komitmen serta dedikasi mereka dalam mendidik dan membimbing kanak-kanak.

Tambahnya, JPNIN Sarawak berharap kanak-kanak Tabika Perpaduan terus mengembangkan kreativiti dan inovasi, membina keyakinan diri serta mengamalkan nilai positif bagi membolehkan mereka menjadi generasi yang mampu menyumbang kepada keharmonian dan kemajuan negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU