KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki harta tanpa alasan munasabah yang diperoleh dengan cara menyalahi undang-undang iaitu 12 unit aksesori kereta jenama Perodua.
Boon Leong, 47, dari Batu Kawa mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Menurut kertas pertuduhan, dia didapati memiliki barang-barang tersebut di kediamannya di Taman Desa Moyan, Batu Kawa sekitar jam 12.04 tengah malam, 20 Jun 2025.
Syarifah Fatimah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 hari sekiranya gagal menjelaskan denda.
Berdasarkan fakta kes, pengadu melaporkan kepada pihak polis pada 27 Mei lepas sekitar jam 4.00 pagi di hadapan sebuah premis di Batu Kawa bahawa ‘skirting’ kereta Perodua Bezza milik isteri dan abang iparnya telah dicuri. Anggaran kerugian yang dialami sekitar RM500.
Pada 20 Jun lalu sekitar jam 12.04 tengah malam, bertindak atas maklumat tentang kecurian aksesori kenderaan, sepasukan polis membuat serbuan di sebuah rumah lalu menahan seorang lelaki yang dikenali sebagai Ah Leong.
Pemeriksaan kemudian menemui pelbagai aksesori kenderaan yang dipercayai dicuri.
Barang-barang yang dirampas termasuk lapan unit ‘skirting’ kenderaan pelbagai jenis jenama Perodua, seunit pemotong besi, seunit bumper kereta, dan dua unit ‘spoiler’ kereta.
Hasil siasatan mendapati tertuduh gagal memberikan alasan munasabah atas pemilikan pelbagai aksesori kereta tersebut ketika ditangkap.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh ASP Arman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



