TATAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran Rumah Enjan, Nanga Biban, Sungai Tatau, di sini malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Alexsen Gindi, 24, dan kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10.00 malam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai insiden berkenaan pada jam 10.12 malam tadi.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) turut dihantar ke Balai Polis Tatau untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian.
“Hasil perbincangan bersama pihak polis, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dilaksanakan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi SAR tidak dapat dijalankan pada malam kejadian berikutan lokasi insiden hanya boleh diakses melalui laluan balak yang sukar dilalui dalam keadaan gelap.
“Penangguhan ini juga dibuat bagi menjamin keselamatan semua anggota penyelamat,” ujarnya.



