Lelaki paling pokai

NAMA saya Ahmad Kadir dan ini kisah benar. Biarpun hakikatnya agak keberatan untuk saya menceritakan kembali kisah pahit ini tetapi saya ingin kongsikan sebagai teladan dan pengajaran kepada semua.

Saya menelan kisah pahit ini dengan tabah dan ia berlaku dua kali dalam hidup saya namun dalam selang masa yang agak lama.

Kira-kira 10 tahun yang lepas, saya berhenti kerja dari sebuah syarikat multinasional. Saya bekerja selama 10 tahun di syarikat tersebut dengan pendapatan agak memuaskan, sesuai dengan kelayakan yang ada.

Semasa berkhidmat di syarikat tersebut saya membina kehidupan seperti lelaki bekerjaya yang lain.

Saya berumah tangga. Ada rumah dan dua kereta. Kami dikurniakan dua anak. Isteri saya bekerja sebagai penjawat awam dengan pendapatan biasabiasa sahaja.

Jujurnya, saya bekerja dalam bidang yang bukan digemari. Saya selalu tertekan dan kurang keseronokan bekerja sejak hari pertama lagi.

Namun saya berjaya memujuk hati sehingga mampu bertahan bekerja selama sedekad lamanya. Lama-kelamaan saya sudah tidak mampu mengikis perasaan itu dan akhirnya saya nekad berhenti kerja.

Tanpa berfikir panjang, saya menceburi perniagaan langsung pelbagai peringkat (MLM) secara sepenuh masa.

Berbekalkan duit tabungan RM40,000, saya mendabik dada dengan ‘membakar jambatan’ agar tidak lagi kembali sebagai pekerja makan gaji. Pasti saya bangga kerana tidak lagi mencucuk kad ATM untuk mengambil gaji bulanan.

Saya pergunakan wang ini untuk modal termasuk untuk membayar komitmen bulanan yang tinggi ketika itu.

Tidak sampai setahun wang tersebut habis licin. Perniagaan entah ke mana. Tidak menjadi seperti apa yang dimimpikan.

Bermula dari episod ini, saya sudah menjadi lelaki yang paling pokai di dunia. Tiada wang simpanan dan tiada wang tunai dalam tangan.

Kereta saya kena tarik. Saya meminjam duit orang tua. Nafkah perbelanjaan keluarga saya abaikan kerana saya tidak berduit lagi. Apa-apa barang di rumah termasuk komputer riba, peralatan video, rim kereta dan barangan sukan saya jual untuk dapatkan wang tunai.

Bahkan besi buruk, surat khabar lama, tin aluminium dan botol plastik turut dijual di kedai kitar semula.

Sepertinya jika baju koyak pun dapat dijual, saya akan jual untuk mencari duit.

Hasil jualan ini memang tidak mampu untuk menampung keperluan harian. Saya cukup tertekan, malu dan rasa rendah diri teramat sangat. Tidur malam tidak lena dan makan sudah tidak berselera.

Hubungan dengan isteri semakin menjauh, renggang dan retak menanti belah.

Namun saya bersyukur kerana anak-anak amat memahami saya. Mereka gembira seperti biasa. Cuma tidak seperti kanak-kanak yang lain sebaya mereka.

Kami makan apa yang ada di atas meja. Pernah tiada beras, gas habis dan bil utiliti tertunggak.

Saya akhirnya mengambil keputusan untuk kembali bekerja makan gaji dan melupakan seketika dunia perniagaan yang dijanjikan indah khabar dari rupa.

Pekerjaan pada kali ini tidak selumayan pendapatan saya sebelum ini. Keadaan hidup kami ala kadar sahaja dan boleh membayar pinjaman kereta dan rumah serta bil utiliti yang lain.

Kos hidup semakin meningkat. Anak-anak semakin membesar dan bertambah seorang lagi anak.

Saya bekerja lebih keras. Tidak mengharapkan satu sumber pendapatan sahaja. Saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian untuk menambah pendapatan.

Saya terpaksa ada dua pekerjaan dalam satu masa ketika itu.

Adapun pendapatan tetap sangat sedikit dan pendapatan alternatif juga tidak menentu. Malah belum mampu menampung perbelanjaan harian.

Sekali lagi saya menjadi suami yang tidak berduit dan ayah yang belum mampu memberi kesenangan kepada anak-anak.

Saya terpaksa makan apa yang ada dan memberi laluan untuk anak-anak dan pasangan makan makanan kegemaran mereka. Sebab isteri yang menyediakan keperluan tersebut.

Perbelanjaan saya untuk membayar komitmen bulanan yang semakin hari semakin tinggi. Lima tahun kemudian, sekali lagi saya nekad untuk mempertaruhkan masa depan dengan berhenti kerja makan gaji.

Bekerja makan gaji tetapi pendapatan terlalu sedikit seperti tidak berbaloi.

Saya ambil keputusan untuk memberi sepenuh tumpuan masa kepada perniagaan dalam talian. Patut ada perumpamaan, takkan pisang berbuah dua kali tetapi saya seperti pisang yang ingkar fitrah alamnya – berbuah dua kali.

Saya gagal sekali lagi untuk kali kedua. Perniagaan dalam talian hanya memberi pendapatan teramat sedikit dan tidak menentu

Tidak sampai setahun, mimpi indah saya untuk menjadi peniaga dalam talian berjaya musnah. Tahap kewangan saya sudah nazak dan saya berada pada titik terendah kehidupan.

Bil utiliti tertunggak dan panggilan telefon daripada pegawai bank hampir setiap hari kerana ada pinjaman yang tidak terbayar.

Saya seperti terjatuh ke dalam lubang yang sama kali kedua. Pengalaman pertama dulu sebagai lelaki paling pokai bagaikan tidak serik untuk saya.

Hubungan dengan pasangan sudah seperti telur di hujung tanduk dan umpama retak menanti belah.

Akhirnya perpisahan berlaku juga. Apabila amarah sudah di kemuncak, saya dihiriskan dengan kata-kata – tiada maaf bagimu.

Bayangkan, saya seperti suami dan bapa yang paling tidak berfungsi sama sekali.

Saya disuruh balik kampung tanpa ada satu sen pun wang di tangan. Dengan perasaan malu yang sarat di dada, saya terpaksa meminjam duit kawan untuk tambang pulang ke kampung.

Saya berjaya pulang kampung dan minta maaf dengan ibu.

Ya, ibu mana yang tidak sayang akan anaknya. Walaupun anak seorang pembunuh atau jatuh miskin, ibu akan tetap mendepakan tangannya menyambut kita.

Tidak lama berada di kampung, saya mendapat tawaran bekerja lagi. Pendapatan jauh lebih baik dan saya bersyukur dan menikmati kehidupan saya sekarang.

Kisah saya berhenti di sini. Saya berharap pembaca mengambilnya sebagai iktibar.

Lelaki tanpa wang seperti lelaki tanpa maruah kerana lelaki yang harus menjadi ketua keluarga.

Saya tidak menjatuh hukum dengan meletakkan wang mengatasi segala-galannya, tetapi realiti kehidupan, segala-gala memang memerlukan wang.

Sentiasalah bersyukur dan menghargai rezeki serta peluang yang ada.

Jadilah lelaki yang rajin, bijak mencatur kehidupan dan pandai mencari duit agar maruah suami tetap mulia di mata isteri.

Maruah ketua keluarga dan tanggungjawab lelaki hanya berfungsi jika ada wang.

Tidak dapat banyak wang, mencukupi sudah memadai walaupun bukan yang terbaik.

Ingatlah kata-kata usikan sesetengah wanita – ada wang abang sayang, tidak ada wang abang melayang!

Suara Sarawak