ARTIKEL

Lelaki warga emas maut kemalangan motosikal di Bintangor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Bakong-Meradong, di sini, pada 18 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 73 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sarikei pada jam 6.06 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda bergerak dari Bintangor menghala ke Jalan KJD.

“Setibanya di lokasi, motosikal mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah motosikal Demak yang berada di hadapannya,” katanya.

“Perlanggaran menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh di atas jalan, manakala motosikal Demak terbabas ke bahu kiri jalan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis yang tiba di lokasi mendapati penunggang motosikal Demak sudah tiada, manakala kenderaannya ditinggalkan di tempat kejadian.

Berdasarkan maklumat saksi katanya, penunggang terbabit dipercayai lelaki warga Indonesia dan polis kini sedang berusaha mengesan individu berkenaan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi atau individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Insp Mohd Zainal Abdul Ghafar di talian 011-11945095 atau Sarjan Ranam Manja di talian 013-5687725.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Meradong.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU