Trending

Lembaran baharu politik Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Politik Sarawak bakal berwajah baharu sekiranya polemik politik yang selama ini berlegar dan sentiasa mewarnai politik Sarawak iaitu berkaitan dengan ‘Mesra BN’ dan sekarang ‘Mesra GPS’ bakal berakhir dalam era kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. ‘Teman Tapi Mesra’ sebuah lagu dendangan daripada Ratu pernah popular dahulu sentiasa mewarnai politik Sarawak sebelum ini.

Dalam menempuh pilihan raya sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) di Sarawak, parti politik yang dikenali sebagai ‘Mesra BN’ dahulu akan bertanding sebagai calon langsung bermaksud menggunakan logo BN iaitu dacing pada masa itu. Sebagai contoh, semasa PRN 11 dahulu seramai 13 orang calon langsung BN di Sarawak iaitu majoriti daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan seramai 11 orang telah menang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi.

Perkara ini berlaku kerana tiada persefahaman dalam parti sehingga perpecahan berlaku. Demi mempertahankan kerusi Dun yang telah dimenangi dan penyandang masih mempunyai sokongan dan dukungan akar umbi maka formula calon langsung telah digunakan setiap kali pilihan raya.

Pergolakan Politik

Terbaharu, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang sebelum ini dikenali sebagai UPP merupakan parti pecahan daripada SUPP merupakan sebuah parti politik yang mesra Kerajaan Sarawak. Malahan, ahli parti PSB ada dalam barisan kabinet negeri Sarawak. Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan entiti politik merupakan kerajaan yang memerintah negeri Sarawak. GPS terbentuk selepas BN tewas semasa PRU 14 lepas. Untuk rekod, GPS terdiri daripada empat komponen parti tempatan iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP. Namun begitu, PSB tidak termasuk dalam komponen parti yang membentuk GPS.

Minggu lepas, politik Sarawak diriuhkan lagi dengan berita keluarnya Dr Jerip Susil daripada PSB yang merupakan Adun Mambong yang juga seorang Menteri dalam barisan kabinet Sarawak. Perkara ini tidak mengejutkan kerana situasi politik kini. Geran Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi semua Adun PSB telah dibekukan awal Januari lalu mungkin salah satu pertimbangan yang dibuat oleh Jerip meninggalkan PSB. Minggu lepas juga lantikan kaunselor serta ahli majlis tempatan daripada PSB juga turut tidak disenaraikan lagi.

Percaturan PSB

Kini, keputusan daripada Presiden PSB iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh menjadi perhatian sama ada beliau akan turut meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan dalam barisan kabinet negeri Sarawak. Percaturan politik PSB sudah pasti dalam gerak-geri yang bakal dilakukan oleh Soon Koh dalam masa terdekat.

Malahan, semasa dalam persidangan delegasi tahunan parti itu di Sibu Soon Koh mengakui bahawa delegasi parti tersebut menyokong apa-apa tindakan berlaku serta keputusan di ambil oleh beliau termasuk meletak jawatan. Apa yang pasti Soon Koh tetap diminta mengundur diri daripada barisan kabinet Kerajaan Sarawak mengambil kira yang disuarakan oleh GPS. Sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman, Soon Koh sudah pasti akan meletak jawatan sebagai seorang menteri dan terus berjuang dalam pentas politik PSB.

Apa yang menarik ialah sekiranya PSB tidak lagi berteman dengan GPS seperti sebelum ini, ia membuka lembaran baharu politik Sarawak dalam menuju PRN ke-12 nanti. Pentas politik Sarawak akan lebih terbuka dengan PSB akan turut serta dalam pertarungan semasa PRN ke-12 nanti. Melalui ini PSB akan mengetahui sama ada mereka betul-betul boleh berdiri di kaki sendiri dengan menilai tahap sokongan serta dukungan rakyat di akar umbi. Selama ini

PSB yang menguar-uarkan bahawa mereka menyokong Kerajaan Sarawak pimpinan GPS mendabik dada bahawa mereka diterima oleh rakyat Sarawak. Persoalannya, adakah betul-betul PSB mendapat sokongan dan dukungan rakyat Sarawak setelah mereka merupakan sebuah entiti politik tanpa mengaitkan diri dengan GPS?

Sama-sama kita tunggu dan lihat perkembangan parti ini selepas ini sehingga PRN ke-12 nanti. Tuntasnya, GPS perlu menyingkirkan PSB seperti yang didesak oleh parti komponen GPS terutama PRS dan SUPP demi menjaga keharmonian dalam gabungan tersebut. GPS masih mempunyai masa untuk menyusun strategi sebelum gendang PRN ke-12 dipalu.

Hakikatnya, GPS tetap utuh dan mendapat sokongan serta dukungan rakyat Sarawak tanpa dibayangi oleh PSB. Kelebihan tetap akan berpihak kepada GPS dalam situasi politik Sarawak kini. PRS dan SUPP dalam GPS perlu diperkukuhkan serta diberi ruang untuk memperkasa parti itu bagi menempuh PRN ke-12 nanti. Pemilihan calon dan jentera parti yang tepat sudah pasti dapat menyumbang kemenangan kepada kedua-dua parti komponen dalam GPS ini dalam PRN ke-12 nanti.

Tuntutan Politik

Nawaitu, sekiranya Soon Koh meletak jawatan atau diminta mengundur diri, ia bakal menyaksikan penyelesaian kepada polemik politik mesra BN dan kini mesra GPS dapat diselesaikan oleh Ketua Menteri Sarawak. Ia tidak akan menghantui politik Sarawak dalam era politik baharu Sarawak setelah keluar daripada BN.

Tuntutan politik baharu di Sarawak dalam era kepimpinan GPS harus berani membuat keputusan demi kelangsungan politik Sarawak tetapi bukan hanya untuk survival politik masing-masing. Apa yang pasti, dalam PRN ke12 nanti, kemeriahan pesta demokrasi sudah pasti akan menjadi sejarah dalam politik Sarawak dengan penyertaan lebih ramai entiti politik bertanding bagi merebut 82 kerusi Dun di Sarawak. Ingat, hak serta suara rakyat harus diutamakan dalam berpolitik.

• Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di Unimas.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Mata-mata di jalan raya

SILA patuhi undang-undang peraturan di jalan raya. Dengan keadaan kewangan

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja

Kembara luar biasa

BUKAN selalu Yang di-Pertuan Agong melakukan kembara dan perjalanan lebih

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru