SERIAN: Misi memburu tiga mata mutlak menjadi fokus pendahulu Zon Selatan, Serian untuk perlawanan menentang Sri Aman di Kompleks Sukan Siburan petang esok (Sabtu).
Sekiranya direalisasi, ia mampu mengukuhkan cengkaman Serian di tangga teratas Liga Premier Sarawak 2025.

Pengurus pasukan, Mohamad Azlan Sebi menegaskan, sasaran utama untuk perlawanan petang esok adalah untuk memastikan kemenangan dapat diperoleh.
Menurut Azlan, pemain masih lagi diselubungi semangat untuk terus memburu kemenangan.
“Tiga mata menjadi buruan kita petang esok, saya percaya pemain sudah bersedia ke arah itu.
“Diharap segala perancangan menjadi dan pemain dapat menterjemahkan strategi yang akan diguna pakai,” ujar Azlan kepada Arena Suara Sarawak.
Tegas Azlan, walaupun rekod pertemuan pada perlawanan pusingan pertama sebelum ini memihak kepada Serian, namun situasi pasti berbeza untuk perlawanan petang esok.
Dengan kata lain, Sri Aman pasti akan cuba memberi tentangan sengit kepada pasukan Serian.
“Jangan terlalu memberi ruang kepada pemain lawan. Kekal fokus sepanjang tempoh 90 minit permainan sebenar,” tambah Azlan.
Pasukan Serian kini masih lagi kekal di kedudukan teratas Zon Selatan dengan 19 mata hasil enam kemenangan dicatat dan satu seri selepas mengharungi tujuh perlawanan.






