SERIAN: Saingan peringkat suku akhir kempen Liga Serian 2024 diteruskan lagi pada Ahad ini.
Perlawanan nanti bakal menyaksikan pertembungan penuh dramatik empat lagi pasukan yang dalam radar pemburuan dua slot ke separuh akhir.
Himpunan empat pasukan terbabit ialah TBS 23 akan menentang Black Rovers (1:00 petang) dan SPFC akan menentang Medic FC (3:30 petang).
Kesemua empat pasukan terbabit mempunyai kelebihan masing-masing.
Justeru, aksi yang bakal dipamerkan setiap pasukan pada perlawanan hujung minggu ini pastinya menarik.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA), Phillip Jabu menegaskan, peluang buat kesemua pasukan dilihat seimbang dan sukar untuk diramal peluang mereka.
“Peluang buat kesemua empat pasukan untuk meraih kemenangan dilihat seimbang dan saya percaya perlawanan yang menarik bakal disaji para pemain kelak.
“Hanya kemenangan diperoleh memastikan mereka layak ke separuh akhir,” ujar Phillip kepada Arena Suara Sarawak.
Setakat ini dua pasukan sudah menempatkan diri mara ke separuh akhir. Pasukan tersebut ialah Gedong Unity dan X-Movent.



