KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyatakan, tiga mata berharga menjadi fokus anak buahnya tatkala turun melayani kunjungan Melaka FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok (Jumaat).
Pemburuan kemenangan tersebut penting dalam usaha menambah pungutan mata kem kendaliannya ketika ini.
“Kemenangan menjadi buruan kita malam esok dan saya berharap pemain dapat fokus sepenuhnya,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau mengingatkan kepada pemainnya agar tidak terlalu sambil lewa dalam mengharungi perlawanan tersebut.
Jurulatih kelahiran Singapura itu percaya pasukan pelawat pasti mempunyai keazaman yang sama – cuba untuk mencetak kemenangan.
Dalam pada itu, Aidil juga berharap kehadiran penyokong setia ke gelanggang keramat pada malam esok.
“Peminat pencetus semangat kepada barisan pemain, diharap mereka turun ke stadium malam esok dan memenuhi segenap ruang yang ada,” tambah Aidil.
Kuching City kini berada di kedudukan ketiga, menggumpul 21 mata selepas mencatat enam kemenangan, tiga kali seri dan satu kekalahan.



