ARTIKEL

FRANCIS HARDEN dan Rohani menyaksikan penyerahan Surat Terima projek kepada wakil kontraktor Rimbun Energy Sdn. Bhd. oleh Minjo Simanding pada Majlis Pelancaran Projek SADA: Projek Pelebaran dan Penambahbaikan Jalan Termasuk Pembinaan Lampu Isyarat Pintar di sini, hari ini

Lima lampu isyarat pintar dibina tingkat keselamatan dan kelancaran aliran trafik di Bandar Simanggang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIMANGGANG: Lima lampu isyarat pintar dibina di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) untuk meningkatkan keselamatan dan kelancaran aliran trafik di Bandar Simanggang yang kini semakin sesak.

Pengerusinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kira-kira 15,000 kenderaan melalui jalan utama di bandar itu setiap hari.

Menurutnya, angka itu dijangka bertambah apabila Jambatan Batang Lupar Dua dan Jalan Sri Aman–Betong siap kelak.

“Sehubungan itu di bawah Projek Pelebaran dan Penambahbaikan Jalan Termasuk Pembinaan Lampu Isyarat Pintar, SADA mengenal pasti lima persimpangan yang perlu diberikan keutamaan pemasangan lampu isyarat pintar.

“Ia melibatkan persimpangan Jalan Bayu, Jalan Hollis, Jalan Muhibbah, Pusat Komersial Lepapa dan di Jalan Micheal Pilo,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung Majlis Pelancaran Projek SADA: Projek Pelebaran dan Penambahbaikan Jalan Termasuk Pembinaan Lampu Isyarat Pintar yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis di sini, hari ini.

Jelasnya, dengan siapnya projek bernilai RM4.25 juta itu diharap pengguna jalan raya dapat bergerak dengan lebih selamat pada masa akan datang.

Tambah Rohani, projek itu merupakan salah satu langkah penting dalam usaha kerajaan meningkatkan keselamatan dan kelancaran aliran trafik di Bandar Simanggang.

“Projek ini dahulunya dicadangkan apabila timbulnya kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya ekoran peningkatan jumlah trafik dan risiko kemalangan semakin meningkat.

“Apabila siap pada 25 Oktober tahun hadapan, insya-Allah aliran trafik akan menjadi lebih cekap dan lancar dengan kurangnya kesesakan lalu lintas yang selalu terjadi terutamanya pada waktu puncak,” ujarnya.

Beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar memandu dengan lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi undang-undang terutama apabila kerja pembinaan projek ini berjalan.

Pada majlis tersebut, berlangsung penyerahan Surat Terima (Letter of Award) kepada kontraktor Rimbun Energy Sdn. Bhd. oleh Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman Ir Ts Minjo Simanding.

ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor turut hadir sama.

FRANCIS HARDEN dan Rohani bergambar kenangan seusai pelancaran Projek SADA: Projek Pelebaran dan Penambahbaikan Jalan Termasuk Pembinaan Lampu Isyarat Pintar di sini, hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU